Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Mahasiswa & anak muda punyai hak bersuara isu negara

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 30 OGOS: Mahasiswa dan anak muda mempunyai hak kebebasan dalam menyuarakan pendapat dalam pelbagai hal yang melibatkan negara.

Dekan Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti Universiti Selangor (UNISEL), Amidi Abdul Manan, berkata mahasiswa adalah tunggak harapan negara yang mempunyai tanggungjawab besar untuk memimpin negara pada masa hadapan.

“Mereka juga dikelilingi maklumat berkaitan isu semasa yang berlaku pada masa kini, jadi tindakan mereka dalam menyertai perhimpunan seperti Tangkap MO1 adalah sebagai tindak balas anak muda terpelajar terhadap apa yang berlaku di negara ini.

“Ia juga menunjukkan anak muda benci kepada perkara yang boleh merosakkan nama negara,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Amidi berkata, tindakan itu juga sebagai proses kematangan pelajar yang prihatin tentang apa yang berlaku di sekeliling mereka.

“Jika pihak kerajaan mahupun universiti menyekat aktiviti mereka, itu adalah tindakan sia-sia dan ia hanya akan menambahkan amarah mereka.

“Bagi UNISEL, kita memberikan bimbingan serta memantau pelajar yang terlibat sekiranya mereka melakukan perkara yang melampaui batas,” katanya.

EZY