Categories
SELANGOR

MB: ‘House Owning Democracy’ inisiatif rakyat miliki kediaman pertama

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUCHONG, 27 OGOS : Kerajaan Negeri mewujudkan inisiatif ‘House Owning Democracy’ sebagai jaminan memastikan rakyat memiliki kediaman sendiri, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pelaksanaannya memfokuskan beberapa jaringan skim jangka panjang yang dijangka mampu memberi manfaat kepada semua rakyat memiliki kediaman pertama di bawah Program Rumah Selangorku.

“Sekiranya menteri KPKT ingin tahu apa yang kita lakukan, kita wujudkan skim Dana Sel dengan peruntukan RM20 juta, tujuan keutamaan kepada pembeli kategori peneroka bandar Rumah Selangorku.

“Kita juga wujudkan Smart Selangor First Home Deposit dengan RM10 juta pembayaran, 10 peratus deposit kepada bank untuk pembeli rumah jenis A.

“Terbaru menerusi program Smart Sewa, RM7 juta khusus untuk pasangan baru yang mendirikan rumah tangga, dengan mereka boleh menyewa Rumah Selangorku selama lima tahun,” katanya.

rumah selangorku 2Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Rumah Selangorku di Taman Putra Impiana, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Samad dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Norzaton Aini Kassim dan Pengurus Besar Acmar Group, Dato’ Abd Samad Maharudin.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin menyarankan rakyat khususnya mereka berpendapatan rendah mengambil peluang terbaik menyertai skim terbabit untuk memiliki kediaman pertama.

“Segala insentif yang ditawarkan, mana nak cari Kerajaan Negeri seperti Kerajaan Selangor ini?” kata Mohamed Azmin.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri optimis merangka pelan pembangunan menyediakan kediaman rumah mampu milik sebanyak 15,000 unit dalam tempoh tiga tahun.

Pelan tersebut seiring gagasan ‘Pembangunan Berkualiti Rakyat Dipeduli’ diumumkan Menteri Besar untuk memastikan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan.