Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Warga asing tak diberi hak milik penempatan

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 1 OGOS: Kerajaan Negeri menegaskan tidak akan memberi sebarang hak milik penempatan kepada warga asing walaupun ada yang menetap lebih 20 tahun di Selangor.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun diakui sumbangan tenaga pekerja asing diperlukan terhadap ekonomi negara dan negeri tetapi kini kerajaan akan lebih selektif dan memberi tumpuan kepada kemajuan teknologi semasa.

“Kita tidak akan beri hak milik kepada warga asing yang menetap di beberapa daerah di Selangor.

AZMIN“Jika mereka ini masuk ke dalam negara sudah tentu memerlukan dokumen sah yang diperlukan undang-undang tetapi jika tidak, saya percaya pihak polis dan imigresen akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan berkaitan isu penempatan warga asing yang lebih 20 tahun menetap di Selangor di beberapa daerah ketika Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Incorporated (MBI), pada 29 Julai lalu.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mengambil langkah untuk lebih bersifat kecanggihan teknologi dan inovasi daripada segi pelaburan asing.

“Kita akan mengurangkan tenaga kerja yang ramai kepada meluaskan penggunaan teknologi tinggi dan industri berintensif modal.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga harus menyiapkan tenaga kerja dan modal insan yang mahir dan mempunyai ilmu. Peranan ini dimainkan Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) untuk melahirkan graduan yang mampu memenuhi permintaan pasaran hari ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.