Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

MSL: Adam Nor Azlin bantu Selangor bangkit ikat Sarawak 1-1

OLEH AFIX REDZUAN

KUCHING, 24 OGOS: Jaringan penyamaan pemain gantian, Adam Nor Azlin pada pertengahan babak kedua sudah cukup untuk memastikan Selangor bangkit mengikat Sarawak dengan keputusan 1-1.

Beraksi di Stadium Negeri Sarawak, Selangor yang ketinggalan dipenghujung babak pertama, berjaya tampil bertenaga dibabak kedua bagi memastikan mereka membawa pulang mata untuk menghidupkan peluang merebut tempat ketiga Liga Super.

Beraksi dalam padang basah, The Red Giants terlebih dahulu mengasak menerusi tandukan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit kelapan namun sekadar melepasi palang gol.

Ronaldinho Wleh sekali lagi tampil melakukan cubaan ke gawang Sarawak menerusi rembatan leret yang terus ditangkap kemas penjaga gol, Mohd Shahril Sa’ari pada minit ke-12.

Sarawak yang sesekali mengasak hampir membuka tirai jaringan namun tandukan Gilmar Jose Da Silva Filho berjaya dikawal penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan.

Gawang Selangor hampir bolos pada minit ke-17 dalam keadaan kelam-kabut namun mujur Mohd Rizal Fahmi Rosid berjaya mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Gol pembukaan yang dinantikan pasukan tuan rumah akhirnya menjelma pada minit ke-40 hasil sepakan penalti Junior Aprecido Guimaro.

Segalanya berpunca daripada terjahan yang dilakukan Mohamad Azmi Muslim terhadap Junior dalam kotak penalti pada minit ke-39

Junior dengan tenang menyempurkankan sendiri sepakan itu sekaligus meletakkan skuad Bujang Senang mendahului Selangor 1-0 pada babak pertama.

Ahmad Hazwan Bakri hampir menjaringkan gol penyamaan Selangor, seminit selepas babak kedua bersambung namun rembatannya tinggi melepasi gawang.

Mohamad Azmi hampir menjelmakan gol penyamaan Selangor pada minit ke-67 namun sepakan percuma yang diambil sekadar terkena tiang sebelum cubaan susulan Ugochukwu Ukah tepat ke dakapan penjaga gol Sarawak.

Detik yang dinantikan Selangor akhirnya menjelma apabila pemain gantian, Adam Nor Azlin berjaya menceriakan kem The Red Giants dengan gol penyamaan 1-1 selepas merembat rendah ke gawang Sarawak pada minit ke-76 hasil umpanan Andik Vermasyah.

Selangor hampir menggandakan jaringan pada minit ke-86 menerusi tandukan Ukah namun dibatalkan pengadil kerana off-side.

Di penghujung permainan, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Ugochukwu Ukah dilayangkan kad merah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.