Categories
SELANGOR

Perit jerih tiga asnaf berbaloi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 OGOS: Perit jerih tiga asnaf untuk keluar daripada belenggu kemiskinan akhirnya berbalas apabila mereka menerima penghargaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) atas kegigihan dalam bidang keusahawanan, di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Tiga individu terbabit ialah Zamri Kasim, Rasman Nordin dan Sharifuddin Meon yang masing-masing menerima sijil penghargaan atas kecemerlangan mereka dalam perniagaan.

Anugerah terbabit disampaikan oleh Pengerusi Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) merangkap ahli jawatankuasa Operasi Agihan Zakat, Datuk Ibrahim Md Yusof.

Sharafifuddin Meon, berkata beliau bersyukur diberikan peluang meningkatkan pendapatan keluarganya selepas diberhentikan kerja 2003 lalu.

Katanya, segala kepayahannya selama ini dibayar apabila perniagaan roti dan keknya mencecah pendapatan sekitar RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.

“Sebelum diberhentikan, syarikat tidak membayar tiga bulan gaji. Saya nekad untuk berniaga goreng pisang bersama isteri dan membesarkan lapan orang anak.

“Setahun selepas itu, saya mendapat tender membuat kuih muih untuk dihantar ke Pusat Latihan Tentera Darat di Port Dickson hasil bantuan sebuah syarikat yang merupakan pelanggan.

“Namun, saya menarik diri kerana syarikat itu juga menghadapi masalah kewangan,” katanya ketika ditemui di program Transformasi Usahawan Asnaf (TUAS).

Sharifuddin berkata beliau mendapat bantuan peralatan dari LZS selepas mendapat tender untuk menghasilkan 7,000 biji kuih muih sehari.

Katanya, beliau dan isteri terus berazam mahu mencari lebih pendapatan dengan mempelajari bidang bakeri dengan mencuba membuat roti pada awal 2008.

“Akhirnya, sehingga kini kami masih lagi menghantar roti-roti ini ke sekolah. Dan membuka sebuah kedai di Semenyih pada tahun lepas sekaligus berjaya keluar daripada kategori asnaf dan fakir miskin,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan asnaf sekiranya mahu mempelajari dan berkongsi pengalaman dengannya.

Sementara itu, bagi Rasman Nordin pula, mula mendapat bantuan lori dan modal pusingan pada 2012 dan memulakan perniagaan berasaskan mee, laksa dan char kuey teow di Kelana Jaya.

“Saya berhujan, berpanas dengan anak dan isteri yang turut ikut saya ke tempat berniaga. Tahun lepas, isteri saya berjaya membuka kedai jahit hasil daripada perniagaan dijalankan sebelum ini.

“Saya bersyukur diberikan peluang dan bantuan dari Zakat untuk dibantu kami sekeluarga pertingkatkan pendapatan,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.