Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pesan Azmin buat ‘pengacau’, jangan makan dedak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 OGOS : Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan individu tertentu supaya tidak terpengaruh dengan amalan dan budaya politik kotor Umno Barisan Nasional.

Beliau berkata, amalan tersebut hanya akan meruntuhkan prinsip demokrasi yang menjadi pegangan utuh pentadbiran Pakatan di Selangor.

“Jangan makan dedak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Meraikan Kejayaan Kontijen Selangor SUKMA dan Jamuan Aidilfitri bersama Penjawat Awam Negeri di Dataran Dewan Negeri, hari ini.

Istilah ‘dedak’ merujuk kepada individu yang patuh kepada pihak tertentu setelah menerima manfaat sebagai balasan.

Sebelumnya, Mohamed Azmin diminta mengulas dakwaan Pengasas Solidariti Anak Malaysia, Badrul Hisham Shaharin kononnya Kerajaan Negeri menukar status tanah Paya Indah Wetlands.

Bagaimanapun, Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong sebelum ini menafikan dakwaan tersebut dan memaklumkan bahawa tiada sebarang bentuk pengezonan semula kegunaan tanah di atas Lot 4827 dan Lot 3974.

Elizabeth berkata, tanah berkeluasan 450.76 ekar itu diwartakan Jabatan Perhilitan Pusat sebagai Rizab Tanah Paya di bawah Kanun Tanah Negara sejak 1998.

AzminKatanya, Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutan dan Kerajaan Negeri berkenaan pengurusan dan pentadbiran pemuliharaan Paya Indah Wetlands turut ditandatangani pada 1 Ogos 2007 mengesahkan status milikan tanah tersebut.

Bercakap lanjut, Mohamed Azmin berkata, dakwaan negatif yang dibuat terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri bertujuan untuk menggugat kestabilan dan keharmonian pentadbiran Pakatan di Selangor.

“Penjelasan YB Elizabeth itu cukup komprehansif dan saya kira jawapan itu lengkap untuk menangkis tohmahan mereka yang memakan dedak dan cuba untuk melemahkan pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.