Categories
SELANGOR

Selangor Kids Volunteerism pertama di Malaysia dilancarkan

OLEH AFIX REDZUAN

SUBANG, 28 OGOS: Selangor muncul sebagai negeri pertama di negara ini menubuhkan pasukan sukarelawan daripada kumpulan kanak-kanak.

Dikenali sebagai Selangor Kids Volunteerism, pasukan pertama itu berjaya mendaftarkan 350 peserta dari seluruh daerah.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata pendedahan awal kanak-kanak terhadap aktiviti kesukarelawanan perlu dipupuk seperti kata pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

“Kesukarelawanan adalah aktiviti sangat menarik kerana ia memberi peluang untuk anak-anak menambah pengetahuan dan memperkaya pengalaman diri.

“Manfaatnya juga berpanjangan sama ada terhadap orang yang menerima perkhidmatan kesukarelaan atau keseluruhan masyarakat sekitarnya,” katanya.

IMG_20160828_125436_304Beliau berkata, idea penubuhan itu tercetus kerana sebelum ini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberikan fokus kepada sukarelawan biasa.

Pelancaran Selangor Kids Volunteerism disempurnakan Daroyah bertempat di Hotel Holiday Villa & Conference Center.

Bagi menarik lebih ramai minat kanak-kanak, Jawatankuasa Kebajikan turut menyalurkan dana berjumlah RM2,000 bagi setiap daerah termasuk kawasan Subang Jaya dan Shah Alam untuk menjalankan program kesukarelawanan.

Dalam majlis sama, Daroyah turut menyampaikan sijil watikah pendaftaran, vest dan tanda nama kepada kumpulan pertama sukarelawan kanak-kanak Selangor.

EZY