Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Ada apa dengan buluh?

OLEH NAZLI IBRAHIM

Satu masa dahulu, buluh adalah satu tanaman yang memainkan peranan besar dalam kehidupan manusia sejagat.

Tidak ketinggalan, di Malaysia misalnya, buluh berperanan sebagai salah satu bahan penting untuk membina rumah.

Buluh juga dijadikan rakit yang berperanan sebagai pengangkutan penting bagi menghubungkan kampung-kampung.

Selain rumah dan rakit, buluh juga menjadi bahan utama untuk membuat pelbagai peralatan lain yang digunakan dalam urusan seharian masyarakat dahulu kala.

Bagaimanapun di era moden ini, kegunaan buluh semakin berkurangan dan dilupakan.

Walaupun buluh boleh dikatakan masih mudah ditemui di negara ini tetapi popularitinya tidaklah sehebat tanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah.

Lazimnya, boleh dikatakan permintaan buluh hanya sedikit meningkat tatkala tibanya perayaan Hari Raya Aidilfitri ekoran ia dijadikan sebagai bahan asas membakar lemang dalam kalangan masyarakat Melayu.

Manakala di hari-hari biasa, pasaran buluh di Malaysia tidaklah begitu memberangsangkan kecuali dalam sektor hiliran seperti kraftangan dan seumpamanya.

Tahukah anda selain jenis buluh yang biasanya untuk dibuat lemang atau buluh lemang, sebenarnya terdapat lebih 1,200 spesis lain yang terdapat di seluruh dunia dengan kira-kira 50 daripadanya boleh ditemui, di Malaysia.

Antara tiga spesis paling popular di Malaysia adalah jenis yang sesuai dijadikan bahan utama pembinaan bangunan iaitu buluh semantan (gigantochloa scortechinii), buluh betong (dendracalamus asper) dan buluh akar (dendracalamus pendulus).

Ciri istimewa buluh

Berbanding tumbuhan lain, buluh adalah satu sumber yang mampan berbanding kayu hutan berikutan sifatnya yang cepat matang dengan mengambil masa antara tiga hingga lima tahun berbanding kayu hutan yang memakan masa 50 hingga 100 tahun.

Sifatnya yang cepat matang itu menyebabkan buluh dianggap sebagai satu tanaman yang baik bagi usaha pemuliharaan alam sekitar.

Selain memiliki nilai estetika yang tinggi, buluh juga dikatakan mampu menyerap 35 peratus lebih banyak karbon dioksida berbanding pokok lain.

Buluh juga mempunyai keistimewaan daripada segi ketahanan menghadapi gegaran kerana sifatnya yang boleh melentur dan fleksibel.

Ciri-cirinya yang versatil iaitu mempunyai pelbagai kegunaan dan ringan tetapi lebih kuat daripada besi menjadikan buluh sebagai satu sumber yang hampir tiada pembaziran daripada segi penggunaannya.

Potensi buluh sebagai sumber ekonomi

Walaupun tidak dianggap sebagai tanaman komoditi yang memberi sumbangan ekonomi yang besar kepada negara tetapi hakikatnya buluh mempunyai permintaan yang sangat tinggi dalam pasaran global.

Pada tahun 2018 sahaja, pasaran buluh dunia dilaporkan mencecah sehingga 68.8 bilion dolar Amerika setahun dengan didominasi oleh China, India dan Taiwan.

Di Asia Tenggara pula, mengambil peluang potensi ekonomi buluh, Vietnam dan Thailand juga sudah lama mengorak langkah meningkatkan pengeluaran buluh masing-masing dengan Vietnam memiliki keluasan tanaman buluh seluas 1.3 juta hektar dan Thailand 1.02 juta hektar.

Berdasarkan pertumbuhan permintaan global bagi memenuhi keperluan negara masing-masing dan juga pasaran eksport, angka ini diunjurkan terus berkembang 5.0 peratus, pada tahun 2019 hingga 2025.

Pengarah Bahagian Keluaran Hutan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Rahim Sudin dalam satu pembentangan kertas kerja bertajuk ‘Buluh: Status dan Prospek pada Seminar Pembangunan dan Potensi Produk Berasaskan Buluh’ pada tahun 2014 menyifatkan buluh mempunyai potensi ekonomi yang tinggi.

“Prospek industri buluh dijangka cerah dengan lebih tiga bilion masyarakat dunia dianggarkan bergantung secara ekonomi terhadap penggunaan buluh, pada masa hadapan,” katanya.

Katanya, pada masa ini penanaman buluh di Malaysia lebih banyak tertumpu kepada industri hiliran.

Statistik pada 2013 menunjukkan terdapat hampir 300 pengusaha berasaskan buluh di Semenanjung Malaysia dengan 85 peratus terbabit dalam pembuatan bakul dan kraf, 10 peratus bahan pakai buang dan lima peratus penghasilan rebung untuk pasaran tempatan.

 

Seorang lagi pembentang kertas, Penyelidik FRIM, Dr Hamdan Husain turut mengakui bahawa industri buluh menyediakan hasil pendapatan, sumber makanan dan perlindungan kepada lebih dua bilion penduduk dunia, pada masa ini.

“China, India dan Taiwan adalah pengeluar utama buluh dunia, manakala Amerika adalah pengguna terbesar produk buluh seperti papan lelantai dan lain-lain.

“Dengan mengambil lima hingga 10 peratus sahaja pasaran dunia buluh, maka ia akan dapat menyumbang kepada ekonomi tempatan dan meningkatkan industri buluh tempatan,” katanya.

Pertumbuhan pasaran buluh ini dipacu oleh sektor pembinaan, sektor pembuatan seperti tekstile dan pelbagai sektor lain lagi.

Antara produk yang boleh dihasilkan daripada buluh seperti papan lelantai, produk tekstil seperti pakaian dan tuala, perabut, barang perhiasan, alat muzik, kertas dan banyak lagi.

Categories
RENCANA SELANGOR

Hitam putih kehidupan penghuni rumah warga emas

OLEH NAZLI IBRAHIM

Di sebalik kesuraman Pusat Penjagaan Mahmudah (PPM), Semenyih, tersimpan kemas seribu satu macam kisah lampau yang kekal tersemat dalam ingatan penghuninya.

Pelbagai ranjau dilalui, berliku, berwarna-warni, pahit dan manis kini semuanya menjadi sejarah yang tidak mampu dilupakan.

Selepas melalui kemuncak kehidupan, namun akhirnya di penghujung usia tiada siapa pernah menyangka akan menghabiskan sisa hidup tanpa kehadiran anak cucu di sisi.

Sejarah lampau penghuni ini bukan sahaja memberi kesan mendalam kepada mereka sendiri, malahan turut berbekas di hati petugas PPM.

Mengimbas kembali pengalaman selama tiga tahun berkhidmat sebagai pengerusi rumah penjagaan itu, Ruslan Saidin menyifatkannya sebagai sesuatu yang menginsafkan.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan berlaku beberapa tahun lalu, apabila salah seorang warga emas yang dirujuk oleh sebuah hospital meminta beliau supaya menghantar ke rumah anak perempuannya.

“Paling menyedihkan apabila ada seorang warga emas yang dihantar ke sini meminta kami menghantarnya ke rumah anaknya tetapi apabila kami berbuat demikian, anaknya tak nak terima dia serta menantunya pun dia tidak kenal.

“Sehingga dia cakap kepada kami, dia tak nak tengok muka pakcik itu, mungkin disebabkan sesuatu dendam peristiwa lampau.

“Bila saya tanya, bagaimana dengan ayahnya, anaknya jawab terpulang pada enciklah, nak buang di mana-mana pun terpulang kepada encik,” katanya.

Katanya, peristiwa itu sangat memberi kesan di hatinya, malah ketika Aidilfitri, warga emas itu
masih meminta Ruslan menghantarnya pulang ke rumah anaknya.

Bagaimanapun, kejadian dihalau anaknya itu menyebabkan dia enggan menunaikan hasrat warga emas berkenaan.

“Anak dia tahu dia berada di sini tetapi tiada seorang pun yang datang menjengah bapanya dan ini menyedarkan saya bahawa anaknya masih membenci bapanya itu,” katanya.

Lebih menyedihkan katanya, warga emas itu akhirnya meninggal dunia tanpa sempat bertemu anaknya.

Tidak kurang juga dengan kisah seorang penghuni yang merupakan bekas ‘taiko’ besar di Chow Kit.

Melihat cacah di lengannya sahaja sudah cukup untuk membayangkan kehidupan lampau lelaki tua itu.

“Masa dia sihat dia berkuasa di tempat dia tetapi sekarang menghidap strok, tidak berdaya dan terpaksa meminta bantuan untuk bergerak,” katanya.

Selain itu terdapat juga beberapa penghuni yang menghuni PPM dengan rela hati atas pelbagai faktor antaranya seorang bekas profesor institusi pengajian tinggi awam kerana tidak lagi mempunyai waris untuk menjaganya.

“Profesor itu mempunyai dua orang anak dan isteri tetapi kesemuanya sudah meninggal dunia dan tak berapa lama menghuni di sini profesor itu juga mengikut orang yang disayangi itu,” katanya.

Bekas pelakon, Mazli Mohamad, 76, yang sempat ditemui SelangorKini pula menyifatkan pengalaman berlakon di samping seniman agung, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee adalah antara fasa terbaik dalam hidupnya.

Mengimbas kembali kisahnya sebagai anak wayang, Mazli berkata, antara filem yang pernah dilakonkan adalah seperti Enam Jahanam, Ibu Mertuaku, Panca Delima dan Hang Tuah.

“Pada tahun 1950-an, pakcik juga pernah bersama dengan Allahyarham A.R Tompel mengikut Bangsawan Tengku Mansor.

“Kerja pakcik masa tu jaga tirai dan kalau cerita itu ada ribut pula, pakciklah tukang goyangkan pokok dan lain-lain, kononnya tengah ributlah.

“Pakcik dibayar seringgit kadang-kadang 50 sen tetapi pada masa itu nilainya memang besar,” ceritanya sambil ketawa.

Apabila ditanya, peristiwa yang membawa beliau ke pusat penjagaan warga emas, Mazli berkata, dia sendiri memilih untuk tinggal di situ walaupun pada awaknya tidak mendapat persetujuan anaknya.

“Secara diam-diam pakcik sendiri yang datang untuk tinggal di sini dan apabila anak pakcik tahu, mereka datang ke sini tetapi pakcik rasa lebih elok pakcik tinggal di sini sahaja kerana tak nak membebankan mereka.

“Sampai sekarang anak pakcik tetap mengambil tahu, datang menjengah dan meraikan hari jadi pakcik di sini,” katanya sambil melirik senyuman.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Gemilang Selangor 2017

OLEH ERMIZI MUHAMAD

Belanjawan Selangor

– Pembentangan Belanjawan Negeri dengan jumlah peruntukan RM3.12 bilion dan defisit RM870 juta.

– Mengangkat tema Membangun Bangsa, Memakmur Negeri, sejumlah RM1.66 bilion diperuntukkan untuk tujuan pembangunan dan baki RM1.46 bilion untuk pengurusan.

– Peratusan peruntukan naik satu peratus kepada RM1.66 bilion yang mensasarkan kebajikan seluruh negeri.

– Bersifat komprehensif kepada semua rakyat, kakitangan Kerajaan Negeri turut menerima bantuan kewangan tiga bulan gaji.

Jambatan Ketiga Klang

– Kerajaan Negeri meneruskan pembangunan Jambatan Ketiga Klang menerusi peruntukan bernilai RM199 juta.

– Projek itu diteruskan pentadbiran Selangor selepas Kerajaan Pusat gagal melaksanakan pembangunan projek berkenaan.

– Jambatan sepanjang 2.5 kilometer bermula dari persimpangan Sungai Udang dan berakhir di persimpangan Jalan Goh Huck Huat dibina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Penjenamaan logo baru Smart Selangor

– Smart Selangor tampil dengan imej baru dengan memberi tumpuan kepada konsep sinergi dan perhubungan dalam usaha membangunkan Selangor sebagai negeri pintar, menjelang
2025. Pemilihan konsep itu selaras hasrat pentadbiran negeri yang konsisten membangunkan agenda Smart Selangor demi manfaat masyarakat seluruh negeri.

KDEB ambil alih pengurusan sampah domestik PBT

– KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) melebaar jaringan pengurusan sampah domestik di Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang.

– Sejak pengambialihan dibuat, pengurusan sampah negeri lebih efisyen dan mampu menyelesaikan 1100 aduan sisa pepejal.

– Aplikasi ICelan Selangor turut diperkenalkan bagi memudahkan proses pengurusan dan aduan kutipan sampah.

Belangsungkawa

– Awal Januari lalu, Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Kamarol Zaki Abdul Malek meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di kediamannya.

– Pemergian bonda, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Che Tom Yahaya kerana serangan angin ahmar. Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Klang Gate, pada 18 Februari lalu.

– Kemangkatan adinda kepada Sultan Selangor, Tengku Puteri Sofiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang mangkat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, 8 Jun lalu.

– Pada 25 Julai lalu, ibu mertua kepada Dato’ Menteri Besar, Siti Rahmah Ismail disahkan meninggal dunia.

– Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Datuk Aman Shah Mohd Shahar, 72, meninggal dunia akibat penyakit barah hati, pada Disember lalu.

Pelaburan IKEA, Jepun

– IKEA bersetuju melabur RM1 bilion bagi membina pusat pengedaran produknya untuk rantau Asia Pasifik, di Pulau Indah, Selangor

– IKEA Pulau Indah dikatakan bakal menjadi pusat pengedaran produk IKEA ketiga terbesar di dunia selepas IKEA Chicago, Amerika Syarikat dan IKEA Dusseldorf, Jerman.

– Selain itu, pelaburan baru dari Jepun sebanyak RM1.2 bilion turut memilih Selangor yang meliputi aspek pembangunan berteknologi tinggi.

– Ia bakal membuka peluang ekonomi lebih baik kepada golongan belia di Selangor.

Lawatan delegasi Selangor ke luar negara

– Perbelanjaan berjumlah RM696,969.74 diperuntukkan Kerajaan Negeri membabitkan lawatan ke tujuh negara bagi rangka kerja promosi pelaburan negeri.

– Jumlah berkenaan dilapor masih rendah berbanding ketika pentadbiran Kerajaan Umno Barisan Nasional sebelum ini iaitu RM1 juta.

– Delegasi Selangor diketuai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Exco Kerajaan Negeri dan wakil pelaburan negeri mengadakan lawatan ke luar negara di Jerman, Belgium, Sepanyol, China, Taipei, Taiwan dan India.

– Lawatan berkenaan dibuat bagi meninjau prospek pelaburan dari luar negara ke Selangor bermula awal Januari hingga Mei lalu.

Smart Sewa Selangor

– Skim Smart Sewa dilaksanakan atas keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesukaran rakyat mendapatkan bantuan pembiayaan peribadi daripada bank.

– Fokusnya tertumpu kepada dua matlamat utama memastikan individu berkelayakan mendapat akses kepada pembelian rumah selepas tempoh kadar sewa tamat.

Smart Desa Selangor

– Smart Desa Selangor diperkenalkan bagi memberdaya masyarakat luar bandar untuk terus berada dalam arus perdana pembangunan serta menikmati kemudahan dan mutu kehidupan setara kehidupan moden masyarakat bandar

– Ia dilaksanakan menerusi Pelan Halatuju Strategik Desa Selangor 2035 iaitu dokumen perancangan spatial berhubung perancangan dan cadangan pembangunan desa.

– Ia merangkumi aspek fizikal, ekonomi, sosial dan persekitaran yang menjadi asas perancangan dan kluster pembangunan strategik demi mempertingkatkan potensi kemajuan desa.

Pengukuhan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR)

– Sejak Pakatan Rakyat mentadbir Negeri Selangor mulai Mac 2008, satu agenda besar dirangka dan dilaksanakan segera. Keseluruhan agenda itu dirangkumkan sebagai “Hasil Negeri untuk Rakyat”.

– Kekayaan hasil Selangor disalurkan kepada rakyat melalui program Inisiatif Peduli Rakyat yang dahulunya dikenali sebagai Merakyatkan Ekonomi Selangor.

– Dimulakan dengan tujuh agenda kemudian ditambah dan meningkat dari semasa ke semasa melalaui fasa demi fasa.

– Hasilnya bagi tempoh 2017, pengenalan Kad Peduli Sihat dilancarkan kepada golongan sasar bagi meningkatkan jaringan akses kesihatan masyarakat.

– Selain itu, penjemaan Bas Smart Selangor turut diperlebar apabila menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Record sebagai negeri paling banyak menyediakan perkhidmatan bas percumaa kepada rakyat sebanyak 100 bas percuma.

Kecemerlangan atlet Selangor

– Kejayaan kotinjen Malaysia dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 lalu meraih 111 kutipan emas turut disumbang atlet kelahiran Selangor.

– Kecemerlangan negara dalam temasya sukan itu menyaksikan seramai 142 atlet Selangor menyumbang 74 pingat menerusi 41 acara sukan dipertandingkan.

– Pencapaian gemilang atlet Selangor adalah hasil program pembangunan sukan Kerajaan Negeri berteraskan konsep 2I iaitu ‘Incorporate’ dan ‘Integrate’ bagi mencungkil bakat baharu bermula dari peringkat persekolahan lagi.

Categories
BERITA UTAMA

Yang kita tidak tahu, siapa Anwar di sebalik tabir?

OLEH NAZLI IBRAHIM

Kebanyakan kita mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang gigih berjuang untuk memerdekakan negara ini daripada cengkaman kerajaan yang korup dan menindas rakyat.

Kita mengetahui beliau bukan sahaja pernah menduduki kerusi nombor dua dalam hariki pentadbiran negara, malahan pernah memangku jawatan Perdana Menteri.

Kita juga tahu perjalanan politik Anwar cukup berliku dan masak dengan sepak terajang politik apabila tiga kali terpenjara, difitnah dan pelbagai dugaan dan cabaran getir lain.

Itu yang kita tahu tetapi disebalik semua itu, siapakah Anwar di sisi lain? Siapakah Anwar di mata anaknya, rakan sepermainannya, rakan sekolah, guru dan orang-orang tua di kampung Cherok To’ Kun?

BEBAS ANWARSempena ulang tahun kelahiran Anwar ke-69 pada 10 Ogos lalu yang juga jatuh pada bulan kemerdekaan, SelangorKini kongsikan siapakah Anwar Ibrahim seperti yang diceritakan anak sulung beliau, Nurul Izzah Anwar, rakan sepermainannya, Osman Ibrahim yang mesra dengan panggilan Pak Tih, 69 dan sepupu kepada Anwar, Zulkifly Saat, 57 tahun.

Turut sama berkongsi cerita, Mohd Zainizam Zainal Abidin, 40 tahun, iaitu anak kepada salah seorang guru yang pernah mengajar Anwar di alam persekolahan.

Banyak cerita mereka kongsikan, ada yang mencuit hati dan tidak kurang juga yang menyentuh perasaan.

Minat buku sejak kanak-kanak (sub)

Anwar mempunyai minat mendalam terhadap buku sejak di usia kanak-kanak lagi. Pada suatu hari, ketika bersekolah di tingkatan dua, semasa subjek Pendidikan Jasmani, Pak Tih dan beberapa rakan lain bersiap sedia untuk ke padang untuk bermain sama ada sofbol, ragbi atau sebagainya.

Apabila melihat Anwar yang masih tidak bersiap sebaliknya tekun membaca buku, Pak Tih dan rakan lain mengajak Anwar bermain sama. “Apa nak jadi hang ni Anwar, tak nak bersukan, marilah kita main bersama” sapa Pak Tih.

Sambil terus membaca Anwar menjawab, “hang mainlah. Aku nak baca buku sebab suatu hari nanti aku nak jadi Perdana Menteri,” jawab Anwar. Pak Tih dan rakan lain yang ketika itu tidak berapa mengerti makna Perdana Menteri hanya tertawakan jawapan Anwar itu.

Kepintaran Anwar memang menonjol berbanding kanak-kanak lain. Guru beliau ketika darjah dua, Allahyarham Zainal Abidin pernah memberitahu Zainizam berkenaan tulisan tangan Anwar.

“Bapa saya cerita masa di darjah dua lagi, dia dah kesan Anwar adalah seorang yang istimewa. Lain daripada budak lain. Contoh mudahnya tulisan Anwar. Masa tu maklumlah budak darjah dua punya tulisan memang teruk tetapi Anwar punya tulisan memang dah ‘perfect’, dah macam orang dewasa.

“Seperkara lagi, tanyalah dia apa sahaja soalan, memang dia boleh jawab. Lama kelamaan sehinggalah pada suatu hari, bapa saya usap kepala Anwar dan kata pada Anwar, “hang ni, suatu hari nanti hang jadi menteri dan Anwar ingat kejadian ini sampai sekarang,” kata Zainizam.

Hormati orang lebih dewasa (sub)

Walaupun Anwar sama seperti budak kampung lain bermain, mandi kolam dan mendaki bukit tetapi Anwar cukup sensitif terhadap orang lebih dewasa terutama ibu, bapa juga guru.

ANWAR IBRAHIM“Beliau cukup marah kepada kami sekiranya tidak menghormati ibu bapa,-guru dan orang lebih dewasa. Salah satu tanda beliau sedang marah apabila telinganya jadi merah,” kata Pak Tih.

Disebabkan beliau cukup menghormati orang dewasa dan mempunyai keperibadian yang menonjol, Anwar disayangi oleh imam kampung dan juga orang tua di kampung Cherok Tok’Kun. Mereka menganggap Anwar seperti anak sendiri.

“Kalau imam di kampung ini, macam emak bapak dialah. Kalau balik, dia mesti cari. Dia punya sentuhan peribadi dengan orang kampung memang hebat,” kata Zulkefly.

Semasa bermain, Anwar kerap mengambil peranan sebagai ketua. Contohnya, apabila Anwar menganjurkan pertandingan bermain masak-masak untuk rakan yang lebih muda, beliau akan menjadi pengadil. Anwar akan mengusahakan untuk menyediakan hadiah sepeti ‘biskut merry’ dan lain-lain.

Menurut Pak Tih, Wan Muhammad merupakan individu yang mula-mula melatih Anwar berucap di depan khalayak ramai.

Salah satu kejadian mencuti hati semasa Anwar kanak-kanak, seekor lipan bukit terjatuh di atas kaki Anwar ketika beliau sedang bercerita mengenai Nabi Sulaiman.

“Cikgu Wan Muhammad ni setiap minggu akan suruh kami bercerita seolah-olah melatih untuk ‘public speaking’. Masa giliran Anwar bercerita tentang Nabi Sulaiman seekor lipan bukit jatuh ke atas kaki dia. Dia bukan main terkejut. Kami ketuk lipan tu sampai mati.

“Bila dah mati, kami tanam. Lepas tanam kami cakap pada Anwar, hang pi la talkinkan dia. Tak kesian ka pada dia? Saya teringat lagi apa dia jawab. Aku mana reti baca talkin ni, kita tanam sudahlah. Bila dewasa bila saya teringat saat itu, saya terfikir dialah orangnya yang akan mentalkinkan Umno-BN,” kata Pak Tih.

Surat berbahasa Inggeris (sub

Berbeza dengan pelajar lain, salah satu proses pembelajaran Anwar untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan berutus surat.

“Pernah masa perjumpaan bekas murid Stocwell, guru kami Mr Tan beritahu kami Anwar masa itu sudah melanjutkan pelajarannya di Kolej Melayu Kuala Kangsar selalu hantar surat tetapi dalam bahasa Inggeris.

“Dia kata dalam surat Anwar itu ada banyak kesilapan. Mr Tan tandakan dengan pen merah dan betulkan kesilapan itu. Mereka berterusan berbalas surat semasa Anwar di Kolej Melayu Kuala Kangsar,” kata Pak Tih.

Ketika masih menuntut di Universiti Malaya, Anwar pernah menjadi guru sementara di sebuah sekolah aliran Cina iaitu Sekolah Persendirian Jit Shin. Beliau mengajar selama dua bulan di sekolah itu.

BEBAS ANWARSalah satu keistimewaan Anwar, beliau memiliki keperibadian yang cepat meninggalkan kesan di hati orang yang mengenali dirinya. Contohnya, walaupun hanya mengajar selama dua bulan di Sekolah Persendirian Jit Shin tetapi beliau sentiasa diingati selepas meninggalkan sekolah terbabit.

“Masa di universiti, dia ada buat sesuatu untuk belia Cherok To’ Kun, dia buat Persatuan Belia Tata Rakyat (Betara) dengan buat kelas bimbingan untuk pelajar sekolah tingkatan tiga dan satu. Dia kumpulkan semua budak universiti di situ dan dia sendiri jadi tenaga pengajar di situ,” cerita Zulkefly.

Bukit Mertajam lokasi riadah (sub)

Salah satu kegiatan yang digemari Anwar semasa kecil adalah menaiki Bukit Mertajam bersama rakan-rakannya. Kegemarannya itu diteruskan sehingga beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri cuma bezanya kali ini diiringi polis pengiring.

Semasa beliau menduduki jawatan Timbalan Perdana Menteri, setiap kali beriadah menaiki Bukit Mertajam beliau akan memperlahankan lariannya supaya Pak Tih dan rakan sekampungnya semasa kecil dapat mengejar untuk berlari bersama.

Apabila kumpulan Pak Tih menghampiri Anwar, beliau akan akan memberikan isyarat kepada polis pengiringnya supaya memberi ruang privasi kepada beliau dan rakan sekampungnya itu.

Lazimnya, Anwar memastikan beliau sempat bermalam di Kampung Cherok To’Kun sebelum menjelang raya. Ketika itu, rumah beliau turut dihadiri ahli politik dan pegawai kerajaan tempatan. Keadaan ini menyebabkan rakan sepermainan beliau semasa kecil merasa janggal dan membataskan Anwar untuk bersembang dengan mereka.

Anwar menyedari keadaan ini. Apabila semua tetamu lain pulang kira-kira selepas jam 11.00 malam, Anwar meminta rakan-rakannya tidak pulang sebaliknya mereka berbual sambil bergelak ketawa sehingga jam 2.00 atau 3.00 pagi.

Anwar tidak gemar dipanggil Datuk Seri oleh rakan sepermainannya sebaliknya beliau lebih selesa dengan panggilan biasanya di kampung, Anwar atau Non.

Walaupun sudah menjadi Timbalan Perdana Menteri, Anwar tidak makan di bawah khemah utama apabila menghadiri kenduri kahwin di Kampung Cherok To’Kun sebaliknya beliau gemar makan di bahagian belakang atau bawah pokok bersama tukang masak dan orang kampung lain.

Menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memang memberi tekanan. Pada suatu hari seperti biasa Anwar beriadah, berlari menaiki Bukit Mertajam bersama rakan kampungnya.

Selepas kepenatan mereka berehat di sebatang pokok yang terdapat akar yang berjuntaian. Melihatkan tali akar itu, Anwar bergayut menggayakan ala tarzan sambil menyanyikan sebuah lagu daripada filem Hindustan bertajuk Sanggam.

Anwar tidak melupakan peristiwa itu. Setiap kali bertemu rakan kampungnya beliau sering menceritakan kembali saat itu.

Nota lama jadi koleksi (sub)

IZZAH-ANWAR-604x270Anwar suka menyimpan kad atau nota lama. Antaranya, semasa beliau masih bersekolah di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Antara nota yang pernah dilihat rakan kampungnya adalah nota daripada senior beliau iaitu,Tan Sri Sanusi Junid.

Anwar bukan sahaja menonjol dalam kalangan penduduk kampung, malahan potensinya juga dilihat pelajar senior di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Justeru itu, beliau sering diberi tugasan apabila bercuti di kampung. Antara tugasan beliau adalah mengadakan tuisyen.

Salah satu sikap Anwar, beliau lebih suka orang yang tidak mengiyakan apa sahaja kata-kata beliau sebaliknya membalas hujahnya.

Anwar mempunyai daya ingatan yang kuat. Walaupun tidak lagi menetap di Kampung Cherok To’Kun, beliau dapat mengingati kebanyakan pemilik rumah yang dilaluinya.

Selain tegas dalam isu rasuah, Anwar juga tegas dalam soal kerja. Antara perkara yang tidak disukainya apabila pembantunya tidak menyerahkan fail sesuatu permohonan melibatkan penduduk kampung.

Pernah semasa beliau menduduki jawatan Menteri Pelajaran, beliau memarahi pembantunya kerana tidak menyerahkan permohonan biasiswa melanjutkan pelajaran seorang anak kampung. Bagi beliau fail itu sangat penting kerana membabitkan masa depan seorang anak muda.

Semasa dipenjarakan kali kedua, Anwar kerap menulis. Antaranya kad raya (sebenarnya sepucuk surat) kepada keluarganya yang menceritakan seekor burung merpati tersesat memasuki sel beliau dengan sayap yang patah.

“Papa juga berkongsi makanan dengan kadangkala memberi cebisan roti buat merpati yang agak lemah kerana tidak dapat mencari makanan sendiri.

“Malangnya, beberapa hari kemudian papa mendapati burung merpati itu tiada lagi sebaik beliau pulang semula ke penjara daripada mendapatkan rawatan di hospital,” kata Nurul Izzah.

Ironiknya, merpati sering diangkat sebagai satu simbol kebebasan tetapi pada masa itu Anwar sedang dipenjarakan, kebebasannya dinafikan.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA

BERSIH 4.0 berjaya, 500,000 bukti nyata rakyat tak mahu Najib

Oleh : NAEEM RAFFI

KEHADIRAN 500,000 peserta dalam Himpunan Aman Bersih 4.0 di Kuala Lumpur hujung minggu lalu membuktikan kesungguhan rakyat menyelamatkan Malaysia daripada kepimpinan yang korup dan sistem pilihan raya tidak telus.

Pengajuran himpunan kali keempat ini menggariskan lima tuntutan iaitu pilihan raya bebas dan adil, kerajaan telus, hak berdemonstrasi, mengukuhkan sistem demokrasi berparlimen serta menyelamatkan ekonomi negara.

IMG_20150829_164815Caranya mudah. Bagi mereka, semua tuntutan itu perlu dimulakan dengan pengunduran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak daripada takhtanya.

Buktinya, kalimat ‘undur Najib, undur’ tidak putus dilaungkan peserta termasuk pemimpin politik di semua lokasi perhimpunan.

Selain lontaran vokal, mesej sama turut disampaikan menerusi poster, sepanduk dan replika. Semuanya mengkritik kegagalan Najib mengurus negara dan mengawal isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Aspirasi rakyat ini turut sama dikongsi Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed apabila beliau muncul dua kali dalam perhimpunan itu walaupun bertentangan dengan tindakannya ketika berkuasa.

Malangnya, mesej itu bersifat kenyal dan sukar dihadam buat individu yang dituju.

Najib masih bertegas dengan pendiriannya sebelum ini bahawa beliau sama sekali tidak akan berundur sebaliknya akan terus mempertahankan negara daripada sebarang desakan yang cuba ditimbulkan kumpulan tertentu.

Sehati Sejiwa.

Bertepatan dengan tema Kemerdekaan negara ke-58, rakyat ternyata ‘sehati sejiwa’ bangkit menolak korupsi, rasuah dan kekejaman bagi menyelamatkan tanah air tercinta.

“Negaraku, tanah tumpahnya darahku. Darah siapa ini? Darah kita, darah melayu, cina, india, asli, iban, kadazan.

“Darah ini tak sudi sama sekali ditindas pemimpin zalim,” kata Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengupas sebaris lirik lagu Negaraku ketika tampil di pentas utama di Dataran Merdeka, malam 31 Ogos lalu.

Walaupun ringkas, ia membawa maksud yang cukup besar dengan tepukan gemuruh peserta perhimpunan diiringi laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Cipta Sejarah Baru

IMG_20150829_154407Inilah perhimpunan Bersih paling aman berbanding penganjuran siri-siri lain sebelumnya yang penuh dengan provokasi pihak lain dan insiden bertempur dengan pihak berkuasa.

Ia juga perhimpunan aman rakyat paling lama dengan rekod 34 jam bermula jam 2 petang, pada 29 Ogos lalu.

Jalan Tun Perak dan Dataran Merdeka menjadi pentas seni di malam hari. Ada yang berpuisi, bersajak dan menyanyi menghidupkan suasana ibu kota dengan mesej ‘Undur Najib’.

Paling penting, ratusan peserta terlibat pandai mengurus diri dalam suasana berdemonstrasi. Penuh displin, bahkan sampah turut diurus macam rumah sendiri.

Sambutan ambang kemerdekaan ke-58 dianggap paling bersejarah berikutan kejayaan mencatatkan jumlah kehadiran kira-kira 300,000 peserta.

“Tujuan kita ke sini untuk menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin korup punca nilai ringgit jatuh dan ekonomi lembab.

“Sebab itu Najib kena turun dan kepercayaan pelabur asing akan kembali,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Categories
BERITA UTAMA

Jelajah bukti peduli rakyat

Oleh HAFIZAN TAIB dan NORHAYATI UMOR

Kehadiran sebuah kontena, dua lori dan tujuh kenderaan membawa kenderaan disambut masyarakat sekitar Utara tanah air dengan penuh kesyukuran.

Nyata rasa rasa syukur tidak dapat dibendung Zaleha Tahir, 61, sehingga air matanya bergenang memikirkan bebanan menyediakan kelengkapan Aidilfitri berkurang dengan keprihatinan Kerajaan Selangor melalui Program Jelajah Ramadan Peduli Rakyat itu.

Ibu tunggal kepada 11 anak yang menetap di Pasir Salak, Perak itu mengakui sumbangan dihulurkan pertama kali diperolehnya kerana sebelum ini tiada siapa mengendahkan nasib keluarganya.

Walapun hanya beras, susu, gula, kurma, minuman berpaket, biskut dan kuih raya, namun sangat bermakna bagi dirinya yang bekerja sebagai pembantu penjual ikan di pasar.

DSC_9464“Tidak pernah sesiapa memberi kami sekeluarga sumbangan. Segala jerih perit membesarkan 11 anak adalah dengan usaha sendiri.

“Saya juga tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bantuan. Tiada sesiapa pernah menemui kami untuk memberi sumbangan,” katanya.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah Zaleha yang kehilangan suami sejak puluhan tahun lalu selepas menerima bantuan terbabit.

“Saya sangat gembira dan terharu dengan keperihatinan Selangor terhadap golongan seperti kami.

Sukar kami gambarkan saat setiap penerima mendapat sumbangan itu walaupun mungkin barangan di dalam setiap kotak hamper sesuatu yang biasa bagi golongan berkemampuan.

Bukan sahaja di Pasir Salak, program anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar turut menjelajah lokasi lain di Perak iaitu Ipoh, Bukit Gantang membabitkan penyerahan 625 kotak hamper kepada golongan memerlukan.

Perjalanan kami diteruskan Seberang Jaya, Pulau Pinang sebelum singgah ke Kedah menyerahkan kotak hamper di tiga lokasi negeri itu iaitu Kulim, Alor Setar dan Langkawi.

DSC_9450Misi rombongan jelajah utara yang bermula 2 Julai hingga 4 Julai lalu tamat dengan pemberian 75 kotak hamper di Kangar, Perlis sebelum meneruskan jelajah Selatan dan Pantai Timur.

Lain pula ceritanya pada sesi penyerahan di Selatan tanah air pada 5 dan 6 Julai lalu apabila perjalanan sejauh 750 kilometer yang memenatkan bagai hilang dengan sambutan meriah masyarakat tempatan.

“Misi ini adalah dari rakyat untuk rakyat. Kita bersama dalam menempuh susah senang dan mendengar denyut nadi mereka,” kata Ketua Delegasi, K Gunasekaran.

“Terima kasih. Syukur kerana ada pihak membantu kami,” kata penerima, Ahmad Umar, 49.

Sementara itu, pimpinan tertinggi PKR di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor menyokong agenda kemasyarakatan dipraktik Selangor, bahkan berharap amalan sama dilaksanakan apabila Pakatan Rakyat (Pakatan) mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri masing-masing.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, berkata apa yang penting dalam mentadbir adalah melakukan kerja bukan sekadar cakap-cakap.

IMG_4977“Kepedulian rakyat ini patut menjadi amalan kepada pemimpin negeri. Selangor membuktikannya, bahkan berjaya dalam pentadbiran,” kata Timbalan Pengerusi PKR Melaka, Gue Teck.

Perkara sama disuara Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim yang melahirkan keyakinan rakyat lebih terbela apabila Kerajaan Negeri itu bertukar tangan kepada Pakatan.

“Kita prihatin terhadap kesusahan rakyat tanpa mengira kaum dan perayaan. Ini adalah amalan kita yang bakal berterusan jika menawan Johor,” katanya.

Lebih 10 sukarelawan terba
bit dalam misi kemanusiaan ke Seremban dan Tampin, Negeri Sembilan sebelum ke Bukit Katil, Melaka dan seterusnya ke Ledang, Simpang Renggam serta Kulai, Johor.

Sebanyak 31 lokasi dipilih seluruh Semenanjung Malaysia bermula 2 Julai sehingga 10 Julai bagi merasai sendiri nikmat memberi kepada golongan memerlukan.

Categories
BERITA UTAMA

Seronoknya naik bas percuma Selangorku

Oleh: LIZAWATI MADFA

Lebih lima tahun tidak menaiki bas, perasaan semestinya berdebar-debar untuk menggunakan perkhidmatan awam itu. Entah apa rupa bas percuma, Bas Selangorku. Sedangkan yang berbayar pun tidak selesa. Yang percuma ini macam mana.

Demi tugas, aku dan sahabat, Remy menunggu di pintu masuk utama Bangunan SUK. Jam menunjukkan 11.40 pagi. Tidak sampai lima minit, kelihatan bas Rapid dengan tag elektronik, ‘Bas Selangorku’. WB 3284 N. Bas baru. Detik hatiku.

Kami masuk disambut senyuman pemandu bas yang kemudian aku dapat tahu namanya Roslan Ramli berusia 48 tahun.

DSC_9836 Terdapat dua penumpang sedia ada dalam bas. Dari pakaian mereka, aku yakin mereka berdua pelajar. Kalau di Shah Alam sama ada Unisel atau UiTM.

Kemudian mata aku terus meliar memerhatikan perut bas. Memang betul bas baru. Bau kilang. Aku berjalan perlahan dari ruang hadapan ke belakang.

Tempat duduknya berwarna biru. Bahagian hadapan siap dengan ‘seat belt’. Ruangan tengah sa-ling menghadap dan lebih rendah daripada tempat duduk lain. Bahagian belakang tempatnya lebih tinggi.

Ada juga ruangan yang agak luas. Betul-betul berhadan pintu keluar di bahagian tengah bas. Oh untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) atau untuk mereka yang berkerusi roda. Bagaimana si OKU dan yang berkerusi roda mahu naik bas. Fikirku. Aku biarkan persoalan itu dahulu.

Aku ke hadapan semula, menghampiri pemandu bas yang sedari awal tidak lokek senyuman.

DSC_9818“Kalau masa begini, memang orang agak kurang, tapi kalau waktu puncak pagi dan petang memang ramai. Begitu juga Sabtu dan Ahad,” kata Roslan yang nampaknya peramah, menyenangkan kerja kami.

Tidak dinafikan, perkhidmatan yang disediakan Kerajaan Selangor itu memang selesa, dilengkapi dengan pelbagai kemudahan. Ada pemadam api, peti pertolongan cemas, CCTV, ruangan luas, dan akan datang sistem perkhidmatan Wifi.

Di bahagian hadapan, terdapat skrin yang memaparkan laluan dan perhentian bas. Terdapat 22 perhentian. Antaranya, SUK, UiTM, Unisel, Jakel, Hospital Shah Alam, Pasar Seksyen 6, Dataran MBSA dan Hentian Komuter Seksyen 19.

Nampaknya penumpang agak ramai di kalangan pelajar, bukan sahaja pelajar universiti, ada juga pelajar sekolah menengah.

“Percuma dan selesa, siapa tidak mahu. Lagi-lagi dalam keadaan ekonomi kurang baik sekarang,” kata pelajar jurusan Akaun Unisel, S. Kokilavani ketika diminta komen ringkas.

“Tetapi tidak ramai yang tahu, rasanya Kerajaan Selangor perlu perhebat lagi promosi. Jika tidak rugilah peruntukan berjuta-juta,” sambungnya.

Setuju. Memang nampaknya orang kurang tahu. Orang mungkin nampak ‘Bas Selangorku’ terpampang depan bas, tetapi orang tidak tahu ke mana laluan bas ini sebenarnya. Apakah lalu dekat dengan tempat tinggal mereka.

bas selangorku 2Apapun, Roslan harus dipuji. Dia bertindak mempromosi bas. Setiap kali berhenti di perhentian, dia akan membuka pintu hadapan dan menyapa orang ramai untuk masuk. Malah menerangkan perhentian mana dilalui bas. Inisiatif terpuji.

Sepanjang perjalanan, kami hanya melihat satu banner sahaja di Hentian Komuter Seksyen 19. Itupun banner pelancaran pada 1 Julai lalu. Selain dari itu tidak ada pemberitahuan atau promosi lain di speanjang jalan. Benar. Promosi sangat diperlukan.

Kami berhenti lama di Seksyen 19. Sambil menunggu penumpang, kami berborak panjang dengan Roslan.

Lebih 11 tahun bekerja di Rapid Sdn Bhd, Roslan menerangkan setiap kemudahan dalam bas berkenaan.

Katanya, segala pergerakan bas dipantau rapi oleh Rapid di ibu pejabat di Cheras Selatan melalui sistem GPS. Perhubungan atau sebarang panggilan juga dilakukan secara ‘walkie talkie’ yang diletak bersebelahan stereng, memudahkan pemandu.

“Kita ada CCTV (Kamera Litar Tertutup). Jadi saya dapat lihat dari tempat duduk sahaja pergerakan para penumpang, sama ada mereka selesai turun bas atau sebagainya,” katanya yang sentiasa bersemangat, walaupun berpuasa. Menunjukkan beliau cintakan kerjayanya.

Selepas 15 minit menunggu, tiada penumpang baru. Kekal kami berdua dan Roslan. Roslan mula menutup pintu masuk bas dan bergerak meneruskan ‘trip’ seterusnya. Sebanyak 16 trip dilakukan Roslan dan pemandu lain setiap hari, bermula jam 6 pagi hingga 9 malam.

Katanya terdapat lima buah bas, empat yang digunakan sementara satu sebagai simpanan jika berlaku masalah kepada bas lain. Ini bagi menjamin kelancaran perkhidmatan.

Sewaktu meluncur untuk ke SUK, terserempak Bas Selangorku yang lain berlawanan arah. Lajunya. Tegur Remy yang sejak tadi asyik mengambil gambar.

“Bas Rapid hanya boleh pergi setakat 80 kilometer sejam, tidak boleh lebih. Tengok ni,” tepis Roslan sambil menekan pedal minyak, namun memang benar hanya setakat itu sahaja.

“Kalau ada cakap laju itu sama sekali tidak benar,” sambungnya. Remy tersengih cuma.

Bas SelangorkuSesampai di SUK, sebelum turun bas aku melihat kawasan pintu masuk bas sebelum turun. Memikirkan bagaimana seorang OKU atau berkerusi roda dapat masuk bas.

Roslan faham. Dia senyum dan melakukan sesuatu. Aku melihat bas itu tampak lebih rendah kedudukannya, memudahkan orang melangkah masuk, tidak terlalu tinggi seperti aku masuk awal tadi.
“Kita boleh ‘adjust’ bagi tinggi rendah. Itulah dikatakan mesra OKU.

“Untuk yang berkerusi roda pula di bahagian pintu tengah ini. Kita buka ini dan turunkan, jadi mereka boleh sorong naik, kita pun sedia bantu,” katanya sambil melakukan demo.

Tepat jam 12.40 tengah hari. Tamatlah perjalanan kami untuk kembali ke SUK.

Kalau begini perkhidmatan bas yang ada, kami pun mahu menggunakan pengangkutan awam sahaja. Lagilah dalam keadaan nilai ringgit terendah dalam sejarah, minyak naik, GST, tol juga bakal naik. Memang jimat sangat kalau ada bas percuma.

Malangnya kami tiada peluang itu. Tempat tinggal kami begitu jauh dari laluan Bas Selangorku.
Benar kata Exco Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim pada hari pelancaran minggu lepas. Rugilah jika rakyat Selangor tidak memanfaatkan perkhidmatan ini.

Tetapi nampaknya sekarang ramai lagi rakyat tidak tahu. Sesuatu harus dilakukan Datuk.

Dan untuk aku sendiri, pengalaman menaiki Bas Selangorku bukan seperti bas henti-henti yang lain. Rasanya lebih selesa daripada menaiki kenderaan sendiri. Aku takkan keberatan untuk naik hari-hari. Tak mungkin berdebar lagi.

# Lizawati adalah wartawan SelangorKini