Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Peruntukan belanjawan pertanian 2017 dijangka bertambah

OLEH NAZLI IBRAHIM

MERU, 26 SEPT: Kerajaan Negeri dijangka meningkatkan peruntukan sektor pertanian bagi memastikan dasar Agro Smart Selangor diperkenalkan mencapai sasaran ditetapkan.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, antara pendekatan digunakan dalam dasar berkenaan adalah meningkatkan penggunaan teknologi moden dalam pengeluaran pertanian.

“Sekarang kita sedang merangka belanjawan tahun depan tetapi setakat ini dari segi bantuan pertanian memang ada peningkatan peruntukan tetapi belum boleh dinyatakan sehingga dibentangkan nanti,” katanya pada program Hari Peladang, Hari Bertemu Pelanggan dan Penyerahan Insentif 2016, Pejabat Pertanian Klang, semalam.

img_20160925_133057_512Walaupun Selangor merupakan negeri perindustrian, Zaidy percaya pengeluaran pertanian boleh ditingkatkan seperti kejayaan dicapai Belanda.

Katanya, walaupun Belanda hanya sebuah negara kecil tetapi mereka berjaya menjadi pengeluar kedua terbesar sumber makanan dunia.

Selain merasmikan program Hari Peladang dan Hari Bertemu Pelanggan, Zaidy turut sempat merasmikan Makmal Industri Asas Tani yang terletak di kawasan Pusat Pertanian Meru itu.

Selain menguji ketepatan kaedah penyediaan sesuatu produk, makmal itu turut menempatkan pelbagai peralatan yang digunakan untuk memproses pelbagai makanan yang berpotensi dikomersialkan.

-nR-