Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rakyat alukan Belanjawan 2017, bukti Kerajaan Negeri serius bela rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 7 NOV: Rakyat menyambut baik Belanjawan 2017 yang dikemukakan Kerajaan Negeri dan menyifatkannya sebagai belanjawan mesra rakyat.

Tinjauan SelangorKini dalam kalangan masyarakat umum menyerlahkan situasi dihadapi kini dengan bebanan kos sara hidup tinggi dan mengharapkan Kerajaan Negeri lebih proaktif membantu rakyat menanganinya.

img_5876Pegawai swasta, Fadzil Aslah, 40, berkata pelbagai program dilaksanakan Kerajaan Negeri dalam meningkat taraf hidup rakyat dan ekonomi adalah baik yang seharusnya diteruskan dengan penambahbaikan lebih bagus.

“Dengan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini wajar diperbanyakkan program pendidikan dan bimbingan keusahawanan bagi membuka ruang orang ramai khususnya generasi muda menceburi bidang perniagaan.

“Ia pasti banyak membantu rakyat terutama golongan kurang berkemampuan yang terbeban ketika ini,” katanya ketika ditemui dalam program Projek Perintis Jelajah Smart Selangor dan Belanjawan Selangor, di sini, semalam.

Peniaga dari Sabak Bernam, Azhari Samian, 50, berkata belanjawan dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meyakinkan dalam merealisasikan segala program dirancang untuk kebaikan semua pihak di Selangor.

“Kerajaan Negeri membuktikan mampu membela nasib rakyat melalui program dirancang setakat ini. Apa diharap ianya berterusan dengan Kerajaan Negeri melaksanakan semua perancangan dengan telus,” katanya.

img_5904Pegawai kerajaan, Sujata Wee, 49, berkata prestasi Kerajaan Negeri jelas meyakinkan dan ia faktor penyumbang ke arah kemajuan lebih membanggakan selepas ini.

“Langkah Kerajaan Negeri mengemukakan belanjawan yang mesra rakyat adalah baik dan tentunya rakyat berharap satu mekanisma mampu diterjemahkan dalam membantu menangani masalah kos sara hidup tinggi dihadapi kini,” katanya.

“Belanjawan 2017 dibentangkan nyata semakin baik saban tahun dengan pencapaian ekonomi negeri yang meningkat. Rakyat tentu menyambut baik segala dirancang demi manfaat bersama,” kata Wong Lai Wan, 56, dari Petaling Jaya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

ADN Selangor, pembangkang terima peruntukan negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT : Peruntukan bagi Ahli Dewan Negeri (ADN) dinaikkan kepada RM800,000 setahun untuk menjalankan kerja infrastruktur dan kebajikan rakyat di setiap DUN seluruh negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan tersebut tidak terkecuali diberikan kepada ADN daripada kalangan wakil rakyat Barisan Nasional dan Bebas, sebanyak RM200,000.

“Peruntukan Ahli Dewan Negeri telah disemak beberapa kali untuk meningkatkan sistem penyampaian kepada rakyat.

“Untuk Belanjawan 2017, saya ingin mencadangkan peruntukan Ahli Dewan Negeri Kerajaan dinaikkan kepada RM 800,000 setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Pengumuman ini sekali gus menyaksikan peningkatan drastik berbanding pembentangan Belanjawan 2016 yang disalurkan kepada ADN negeri sebanyak RM700,000.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin berkata Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan turut mendapat peruntukan RM300,000 setahun.

EZY

Categories
SELANGOR

Pengecualian cukai taksiran & fi lesen niaga diteruskan

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Pengecualian cukai taksiran dan fi lesen perniagaan diteruskan bagi 2017, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan awal bagi memastikan pengecualian ini dilaksanakan serta merta mulai 1 Januari 2017.

“Rakyat masih dihisap darah mereka melalui pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan Bajet 2017 Putrajaya yang mengikat perut.

“Maka pada 2017, Kerajaan Negeri terpanggil untuk meneruskan program pengecualian cukai dan fi lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Pada 2016, Kerajaan Negeri menerima impak kewangan berjumlah RM62 juta selepas pelaksanaan program berkenaan.

“Salah satu inisiatif peduli Kerajaan Negeri untuk menyantuni pemilik rumah kos rendah serta penduduk kampung tradisi, kampung baru dan kampung bagan pada 2016 adalah dengan mengecualikan cukai taksiran.

“Peniaga kecil juga senantiasa mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri dengan menikmati pengecualian fi lesen perniagaan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor berhemah tapi tak ikat perut rakyat seperti pusat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OKT: Berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyeru supaya rakyat mula mengikat perut dalam Belanjawan 2017, sebaliknya Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pula mengutamakan pembangunan negeri bagi merancakkan ekonomi di negeri itu.

Dato’ Menteri Besaritu berkata, langkah diambil Najib itu boleh menjadikan masa hadapan tanah air dan bangsa menjadi gelap.

“2017 kita mengemukakan perbelanjaan berhemah. Kita tidak mengikat perut rakyat. Kita berbelanja tetapi dalam berbelanja, kita mengutamakan pembangunan.

“Jika kita tidak mengutamakan pembangunan, tanah air dan bangsa ini tidak akan punya masa hadapan,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2017 Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Jelasnya, ketika mula mengambilalih pentadbiran negeri pada September 2014, peruntukan pembangunan berada pada tahap 36.7 peratus sebelum ditambah 48 peratus pada 2015 dan 50 peratus lagi pada 2016.

Katanya, Kerajaan Negeri perlu mengambil keputusan berani supaya Selangor terus maju dengan mengekalkan diri sebagai negeri peneraju di Malaysia di samping menjadi sebuah negeri berdaya saing dengan wilayah di rantau ini.

Sebelum ini, ketika membentangkan Belanjawan 2017, Najib mengumumkan pemotongan peruntukan beberapa sektor yang memberi impak kepada perbelanjaan rakyat seperti pendidikan dan kesihatan.

Keadaan ini menyebabkan wang boleh guna daripada setiap sen pendapatan diperolehi setiap keluarga menjadi semakin berkurangan.

EZY

Categories
NASIONAL

Taman Persahabatan Selangor – Jepun singkap tiga dekad jalinan kerjasama serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Hubungan simbiotik para pelabur asing selama lebih dari tiga dekad menjadikan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, komuniti dan pelabur Jepun terus kekal menjadikan Selangor sebagai salah satu destinasi pelaburan terpenting.

Justeru katanya, bagi menghargai kepentingan hubungan dagang tersebut, Kerajaan Negeri bercadang untuk membina sebuah memorial taman di Shah Alam.

“Kerajaan Negeri ingin mencadangkan pembinaan sebuah taman di Shah Alam yang memperkenalkan ciri estetika Jepun yang dinamakan sebagai Taman Persahabatan Selangor-Jepun.

“Taman tersebut merupakan simbol kepada kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi dan kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri pernah mengadakan Misi Penggalakan Pelaburan Negeri Selangor ke Osaka, Jepun yang diketuai Dato’ Menteri Besar sendiri.

Fokus utama lawatan ke Jepun tersebut turut mefokuskan kepada inisiatif menarik pelaburan dari sektor industri farmaseutikal, sains hayat dan teknologi hijau selainkan mempromosikan kawasan perindustrian negeri.

EZY

Categories
SELANGOR

RM1 juta program kemasyarakatan & kebajikan veteran ATM

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi program kemasyarakatan dan kebajikan veteran angkatan tentera, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Dato Menteri Besar itu berkata, ia termasuk membantu keperluan perubatan dan kebajikan 89 veteran cedera perang di Selangor.

Katanya, sebanyak RM500,000 pula diperuntukkan terus ke dalam Tabung Pahlawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kerajaan Negeri mengambil maklum bahawa daripada sejumlah 378,274
bekas tentera di seluruh negara, seramai 263,494 merupakan veteran angkatan tentera tidak berpencen.

“Untuk maksud melindungi dan memelihara kebajikan lebih 28,000 veteran angkatan tentera yang bermastautin di Selangor, maka kita pertimbangkan beberapa inisiatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) juga menetapkan kuota 10 peratus pemilikan Rumah Selangorku dengan harga jualan tidak lebih daripada RM 250,000 untuk ditawarkan kepada pesara tentera, polis dan pasukan beruniform berkuatkuasa 1 September 2016.

“Nilai pasaran hartanah yang terus melambung tinggi menyebabkan ramai di kalangan warga veteran tentera tidak mampu memiliki kediaman selesa untuk keluarga,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

RM2 juta anjur Kejohanan Le Tour De Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM 31 OKT: Peruntukan RM2 juta dikeluarkan Kerajaan Negeri untuk 2017 bagi penganjuran kejohanan berbasikal Le Tour De Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kejohanan yang melibatkan peserta dari negara jiran dan antarabangsa ini merentasi semua daerah di Selangor.

“Penganjuran ini sekaligus dapat mempromosikan produk pelancongan setiap daerah dan memupuk perpaduan rakyat pelbagai kaum.

“Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM2 juta untuk tujuan penganjuran kejohanan Le Tour de Selangor Antarabangsa Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, pagi ini.

Dalam pada itu Mohamed Azmin berkata, penganjuran kejohanan tersebut turut mendapat kerjasama Persatuan Berbasikal Malaysia dan Persatuan Berbasikal Selangor.

EZY

Categories
SELANGOR

Perkembangan Yayasan Restu diiktiraf, warnai estika Islam negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan dan peranan Yayasan Restu untuk terus mewarnai imej dan kemurniaan agama Islam di Selangor, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, usaha tersebut turut mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor selepas mengisytiharkan Kompleks Taman Seni Islam Selangor dinaiktaraf sebagai Kompleks Seni Islam.

“Selaras dengan pengisytiharan tersebut, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM 800,000 bagi 2017 untuk menampung kos penyelenggaraan bangunan Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.

“Peruntukan ini disalurkan terus melalui peruntukan mengurus Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kejayaan Yayasan Restu menampilkan risalah keindahan Islam telah meletakkan Negeri Selangor,khususnya Shah Alam, dalam peta estetik dunia Islam.

Kejayaan itu kata Mohamed Azmin sekali gus memberikan nuansa serta memberikan prospek penghayatan Islam di Nusantara yang berteraskan prinsip keadilan, kasih sayang dan toleransi.

EZY

Categories
SELANGOR

RM4 juta diperuntuk Asrama Anak Pekerja Ladang

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Peruntukan RM4 juta dikhaskan Kerajaan Negeri bagi mendirikan asrama anak pekerja ladang di Seksyen 7, Shah Alam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia dibina di atas tanah kerajaan yang terletak bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Midlands.

Katanya, ia adalah pembangunan kedua selepas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Desa Coalfield yang kini dalam proses pelaksanaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

“Anak pekerja ladang perlu diupayakan supaya mereka mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan suasana pembelajaran dan pengajaran
yang lebih kondusif.

“Kerajaan Negeri berhasrat menempatkan anak-anak pekerja ladang ini di asrama yang mempunyai kemudahan baik dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sementara itu, buat julung kali, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM500,000 kepada komuniti Sikh di Selangor mulai 2017.

“Semua kaum diberi perhatian yang seadilnya dalam aspek kerohanian dan sosio-budaya oleh Kerajaan Negeri termasuk komuniti Sikh,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

MB ikrar tentang petualang, kelapa komeng dan pencemburu sakit hati

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 OKT: Ketelusan pentadbiran dan kejayaan Selangor dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampu menjamin integriti dalam pentadbiran dan sekaligus menarik pelabur asing dan pemimpin dunia datang ke Selangor untuk menjalin kerjasama ekonomi.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keadaan ini menimbulkan perasaan sakit hari di kalangan petualang, kelapa komeng dan pencemburu yang sakit hati.

“Pemimpin Singapura minat bicara soal keselamatan rantau di Laut China Selatan. Saudagar Jepun petah bicara peluang pelaburan. Pemimpin British tertarik dengan kecekapan pentadbiran. Pemimpin dunia melihat Selangor sebagai model kejayaan dan terus menjadi tumpuan. Alhamdulillah.

“Para pelabur suka melabuh di Selangor kerana pentadbiran negeri ini ibarat air jernih, bila dilihat nampak terus ke dasarnya. Tidak ada kekeruhan yang menutup onak dan duri rasuah dan korupsi. Bukan sahaja syarikat gergasi yakin melabur di Selangor, peniaga kecil terus diupaya dan dipimpin,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2016 Kerajaan Negeri Selangor, di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini,hari ini.

Jelasnya, kejayaan Kerajaan Negeri itu dicemburui oleh gerombolan perasuah dan anti kesejahteraan rakyat dengan menabur fitnah, merekayasa tohmahan dan memesong fakta bagi menutup kelemahan diri dan kepentingan politik masing-masing.

EZY

Categories
SELANGOR

Peruntukan SJK dan SAC meningkat, fokus pembangunan infrastruktur

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 OKT : Prospek pembangunan dan kemudahan pendidikan Sekolah Agama Rakyat (SAR), dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) Cina dan Tamil turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri untuk tempoh 2017 ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, peruntukan berkenaan melonjak daripada tahun sebelumnya, sebagai memastikan kualiti pendidikan terus diberdaya.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan RM16 juta semenjak 2013 bagi infrastruktur pendidikan di Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK(C) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJK(T).

“Belanjawan 2017 mencadangkan peruntukan bagi SAR dinaikkan kepada RM9 juta, manakala SJK(C) dinaikkan kepada RM7 juta dan SJK(T) dilonjakkan peruntukan kepada RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Negeri mengenalpasti 25 buah ‘Mission School’ dan lima Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) yang masih belum mendapat perhatian sepenuhnya di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sekolah berkenaan terdiri daripada SMJK Chung Hwa dan SMJK Kwang Hua di Klang, SMJK Yu Hua di Kajang, SMJK Yoke Kuan di Sekinchan dan SMJK Katholik, Petaling Jaya.

“Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM1 juta bagi membantu pembangunan infrastruktur di sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

PROGRESS terima peruntukan RM5 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Program Boot Camp Akademik atau lebih dikenalisebagai Programme On Graduate Employability Enhancement For Smart Selangor (PROGRESS) menerima peruntukan RM5 juta pada 2017, berbanding RM1.5 juta pada tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dengan sasaran 300 peserta pada tahun hadapan, PROGRESS diyakini mampu mengurangkan pengangguran dalam kalangan graduan.

“PROGRESS memastikan graduan di Selangor memiliki kebolehpasaran dalam aspek ‘soft skills’ seperti komunikasi, interaksi, keyakinan diri, pengurusan waktu dan perancangan strategik dalam pekerjaan.

“Memandangkan suasana ekonomi negara hari ini menyumbang kepada pengangguran dalam kalangan graduan, Kerajaan Negeri melihat keperluan untuk membesarkan dukungan terhadap PROGRESS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Mulai April 2016, PROGRESS mula melatih 100 peserta menerusi kumpulan perintis.

Seramai 73 daripada kumpulan ini sudah mendapat pekerjaan manakala 19 lagi sedang menjalani ‘on-the-job training’.

Pada masa sama, Mohamed Azmin turut mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi inisiatif Tuisyen Atas Talian dan beberapa inisiatif pendidikan lain yang menggunakan internet.

EZY