Categories
SELANGOR

C4: Enakmen Kebebasan Maklumat di Selangor lebih baik

SHAH ALAM 27 SEPT: Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) Selangor lebih baik kerana ia menyatakan dengan jelas untuk menangani isu akauntabiliti dan ketelusan dalam tadbir urus.

Pengarah Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel, berkata berbanding Pulau Pinang, ia tidak menyatakan prinsip kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan (CAT) secara jelas dalam pengenalan akta berkenaan.

Cynthia berkata, Seksyen 3 Enakmen FOI Selangor menyatakan bahawa pegawai bertanggungjawab perlu memudahkan urusan mendapatkan dokumen diperlukan.

“Ini bermakna mereka mesti dilatih dengan cekap dan berkesan untuk menjalankan tugas mereka bagi memudahkan pemohon FOI,” katanya semasa berucap pada majlis forum Kebebasan Maklumat, lapor Malaysiakini.

Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 digubal dengan objektif mempertingkatkan penzahiran maklumat bagi kepentingan awam dan memberi peluang individu mengakses maklumat dibuat Jabatan Kerajaan Negeri melalui permohonan dikemukakan kepada Jabatan berkenaan.

Enakmen itu diwartakan pada 25 Ogos 2011 dan berkuatkuasa mulai 5 Mac 2013 sebagaimana perkenan DYMM Sultan Selangor.

Cynthia berkata, tidak seperti di Pulau Pinang, Seksyen 11 Enakmen FOI Selangor menyatakan bahawa senarai pengecualian (dokumen yang boleh dilepaskan) perlu sekecil mungkin.

‘Kita perlu membenarkan lebih dan lebih banyak maklumat, terutamanya yang melibatkan isu-isu kepentingan awam,” kata Gabriel.

“Seksyen 18 Enakmen FOI Selangor sama sekali tiada dalam enakmen Pulau Pinang, di mana ia menyatakan bahawa pegawai Kerajaan Negeri tidak boleh menghalang atau menggagalkan pelepasan maklumat; bahawa ia adalah satu kesalahan bagi penjawat awam atau anggota pentadbiran negeri yang secara aktif menghalang apa-apa dokumen, ” kata Cynthia.

EZY