Categories
SUKANKINI

Empat pemain Red Giants dipanggil sertai Harimau Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 SEPT: Empat pemain Selangor dipanggil untuk menghadiri kem latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula 27 September ini.

Mereka bakal membuat persiapan sebelum skuad Harimau Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa ‘A’ bertemu Singapura di Stadium Nasional, Singapura pada 7 Oktober dan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober 2016.

Pemain The Red Giants yang dipanggil adalah Mohd Khairuazhan Mohd Khalid (penjaga gol), Ahmad Hazwan Bakri (penyerang) dan dua pemain tengah, S Veenod serta Adam Nor Azlin.

Daripada senarai 25 pemain kali ini, seramai 20 pemain dikekalkan daripada skuad 24 pemain yang dipanggil untuk kem latihan pusat sebelum ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” di Solo, Indonesia pada 6 September lalu yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas 3-0 kepada Indonesia.

harimauIni termasuk Nazirul Naim Che Hashim yang datang melaporkan diri di Wisma FAM tetapi diberi pelepasan untuk tidak ke Solo kerana disahkan mengalami kecederaan ketika itu.

Lima muka baharu yang dipanggil kali ini terdiri daripada Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri dari Perak, Muhammad Hadin Azman (Felda United), Ahmad Khuzaimi Piee (Melaka) serta Mohd Rizal Mohd Ghazali dan Mohd Syazwan Zainon (Kedah).

Mereka menggantikan empat pemain yang digugurkan iaitu Brendan Gan dan Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan), Mohammad Amer Saidin (JDT II) serta Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka).

Kumpulan pertama 12 pemain yang disenaraikan kali ini perlu melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Selasa ini, 27 September.

Manakala baki 13 pemain dari Kedah, PDRM, Selangor dan T-Team yang terlibat dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia serta pemain JDT yang terlibat dalam separuh akhir pertama Piala AFC 2016 diminta untuk melapor diri pada 2 Oktober ini.

EZY