Categories
SELANGOR

Orang ramai dipelawa sertai Hari Terbuka Smart Selangor

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 SEPT: Orang ramai berpeluang menyertai Hari Terbuka Smart Selangor di Selangor ICT Fair 2016, di Encorp The Strand Mall, Petaling Jaya, pada 24 dan 25 September ini.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, segala perkembangan program Smart Selangor akan dikongsikan untuk makluman rakyat sepanjang dua hari itu.

“Pada masa sama, kita juga mahukan maklum balas daripada rakyat berkenaan apa yang sudah dilakukan sehingga kini.

“Maklum balas mereka semestinya akan diambil kira dalam memperkasa program di bawah jenama Smart Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Fahmi berkata, SSDU bakal mengendalikan lapan ‘booth’ di Selangor ICT Fair 2016 nanti.

“Selain Hari Terbuka, kita juga akan pamerkan model ‘Smart City’ yang diperbuat daripada permainan ‘Lego’ di salah satu booth.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah

“Kita juga akan menunjukkan bagaimana ‘drone’ boleh digunakan untuk mengambil data (data capture),” katanya.

Sebelum ini, SSDU menganjurkan Lab Smart Selangor bagi mendapatkan maklum balas daripada agensi kerajaan dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Program sama turut diadakan bagi mendapatkan input daripada wakil rakyat dan pihak swasta berkaitan.

-AA-