Categories
SELANGOR

Jajaran LRT3 tak libatkan kubur Simpang Lima

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pelaksanaan projek jajaran Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) dari Bandar Utama ke Johan Setia tidak akan melibatkan tapak Tanah Perkuburan Islam Simpang Lima, Klang.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Haris Kasim berkata, pihaknya sudah mengadakan satu perbincangan khas dengan pihak konsesi serta beberapa agensi yang terlibat, pada 22 September lalu.

“Melalui perbincangan itu, Jais dimaklumkan bahawa jajaran LRT3 tidak melibatkan tapak perkuburan Islam Simpang Lima, Klang.

HARIS JAIS“Salah faham berlaku apabila pihak konsesi mula melaksanakan bancian terhadap beberapa tapak kubur orang Islam berhampiran kawasan jajaran seperti dalam pelan pelaksanaan projek,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Jais juga mengambil maklum bahawa tidak akan berlaku perpindahan kubur seperti didakwa, sebaliknya bancian yang dilaksanakan adalah sebagai memenuhi keperluan pengurusan risiko pembangunan dan kajian impak ke atas projek LRT3.

Selain itu, Haris berkata, ia bertujuan untuk mengenal pasti waris mereka yang dikebumikan di tapak perkuburan itu sebagai data rujukan berkaitan pengurusan risiko.

Katanya, Jais dimaklumkan, pihak konsesi akan memanggil waris yang dikenal pasti daripada bancian yang dilaksanakan untuk diberi penerangan dan penjelasan.

“Oleh itu, kami menyeru kepada waris yang akan dikenal pasti pihak konsesi menerusi bancian supaya dapat memberi kerjasama yang baik. Sebarang permasalahan serta pertanyaan yang timbul berhubung perkara ini boleh rujuk terus kepada Pejabat Agama Islam daerah Klang,” katanya.

Pada 18 September lalu, kira-kira 100 waris anggota keluarga yang dikebumikan di tanah perkuburan itu meminta jajaran projek LRT3 dialihkan kerana didakwa merentasi kawasan kubur berkenaan.

-NFN-