Categories
SUKANKINI

Cub Prix: Kasma jangka saingan sengit di Temerloh

SHAH ALAM 24 SEPT: Pendahulu kategori CP130, Kasma Daniel Kasmayudin berharap perjalanan jauh lebih 20,000 kilometer dalam tempoh singkat tidak mempengaruhi kecergasan fizikalnya bagi menghadapi Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Temerloh, Pahang, Sabtu dan Ahad ini.

Meskipun dijangka untuk terus mendominasi dan berpeluang merangkul gelaran keseluruhan pada minggu ini, pelumba berusia 16 tahun itu sebaliknya merasakan perlumbaan di Temerloh mungkin antara yang paling sukar sepanjang 2016.

Ia memandangkan dia terpaksa menempuh jadual padat setelah terbang ke Itali bagi menyertai Kem Latihan VR46 buat kali kedua selepas perlumbaan pusingan ketujuh di Pasir Gudang, Johor, baru-baru ini.

“Jadual sepanjang dua minggu lepas sangat memenatkan. Saya menempuh perjalanan yang jauh dan jadual latihan yang padat sepanjang di Itali.

“Kemudian dari Itali saya terbang ke Jepun sebelum kembali ke Malaysia. Meskipun gembira dengan pelbagai tunjuk ajar yang diterima di Itali, pada masa sama saya agak penat dan tidak mempunyai banyak masa rehat sebelum ke Temerloh,” jelas Kasma yang tiba di Malaysia, semalam.

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu berpeluang untuk bergelar juara keseluruhan CP130 pada minggu ini seandainya muncul juara manakala pencabar terdekat yang juga rakan sepasukan, Ahmad Fazli Sham sekadar tamat di kedudukan keempat atau memungut lebih 11 mata berbanding Fazli.

“Saya tidak kisah tentang memenangi gelaran keseluruhan di Temerloh ataupun tidak. Saya hanya mahu memastikan dapat menamatkan perlumbaan di hadapan Fazli supaya kekal selesa mendahului Fazli.

Saya juga yakin pasukan mahu melihat kami terus bersaing sengit dan tidak akan memberikan arahan atau strategi untuk memastikan saya menang mudah di sini,” katanya.

Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akan berlangsung di Taman Perindustrian Temerloh, Pahang pada 24 dan 25 September. Tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pengunjung. Masuk adalah percuma.

EZY