Categories
AGENDA NASIONAL

Tamat khidmat NGOi langgar syarat urus jenazah pesakit Covid-19

KLANG, 31 OGOS: Pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGOi) yang melanggar syarat ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk pengurusan jenazah pesakit Covid-19 akan dihentikan khidmat.

EXCO Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tindakan tegas diambil bagi memastikan waris jenazah tidak ditindas dengan dikenakan caj perkhidmatan yang tinggi.

“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Jais (Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad) serta NGOi yang terbabit mengurus jenazah bagi membincangkan perkara ini.

“Bagaimanapun waris perlu tahu mereka tetap perlu keluarkan kos antara RM350 hingga RM500 bagi upah gali kubur dan peralatan seperti papan penahan tanah dan keranda,” katanya selepas Program Minyak Hitam Percuma Penggerak Belia Selangor (PeBS) Sungai Kandis hari ini.

Dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam, beliau berkata Jais akan menyiasat dakwaan terdapat pihak yang mengenakan caj pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di hospital seluruh Selangor.

Beliau turut meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung isu tersebut membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan.

Pada 2 Ogos Jais menetapkan tiada bayaran dikenakan bagi pengurusan jenazah pesakit Covid-19 di negeri ini, namun waris perlu menanggung kos melibatkan tanah perkuburan mengikut ketentuan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setakat ini seramai 189 sukarelawan terdiri daripada beberapa NGOi, individu, jabatan dan beberapa pihak berkerjasama dengan Jais bagi membantu pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jais: Tiada bayaran urus jenazah wabak, tetapkan tanah perkuburan

SHAH ALAM, 2 OGOS:  Tiada bayaran dikenakan kepada keluarga atau waris jenazah Covid-19 yang diuruskan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengarahnya Dato’ Shahzihan Ahmad berkata bayaran hanya dikenakan pengurusan tanah perkuburan meliputi kos membuat keranda jika perlu dan pembayaran dibuat terus keluarga atau waris.

Beliau menjelaskan Jais hanya menguruskan jenazah yang dilepaskan hospital manakala pemakluman kematian serta kehadiran waris juga di bawah urusan pihak berkenaan.

“Jais juga telah menetapkan tanah perkuburan sesuai bagi urusan jenazah Covid-19 untuk kemudahan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahzihan berkata Jais juga membuat pertimbangan khas untuk membuat perubahan sesuai dengan kepentingan umum khususnya umat Islam bagi situasi tertentu.

Beliau turut menasihati waris jenazah Covid-19 supaya terus menyalur  aduan kepada Jais atau pihak berwajib jika timbul sebarang masalah untuk tindakan lanjut.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Umat Islam di Selangor tidak dibenar ziarah kubur sepanjang Aidilfitri

SHAH ALAM, 20 MEI: Umat Islam di Selangor tidak dibenarkan menziarahi makam diraja dan tanah perkuburan sepanjang sambutan Aidilfitri, khususnya sebelum atau selepas solat sunat hari raya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan itu diambil selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

“Mereka yang ingin menziarahi kubur arwah dalam tempoh ini bolehlah menggantikannya dengan amalan bacaan tahlil, zikir dan doa di kediaman masing-masing untuk menghadiahkan pahala kepada arwah kerabat serta kaum keluarga,” menurutnya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihak yang menguruskan tanah perkuburan dan makam diraja di Selangor juga diminta membantu Jais memastikan ketetapan itu dipatuhi oleh semua lapisan masyarakat.

Katanya tempoh ketetapan itu berkuat kuasa adalah tertakluk kepada suatu kenyataan lain yang akan dikeluarkan jabatan tersebut.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Polis siasat kejadian khianat kubur

MELAKA, 22 JUN: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung perbuatan khianat merosakkan beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin, Bachang malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris meminta semua pihak bertenang dan tidak menularkan gambar serta video kejadian itu bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan terhadap kejadian tersebut.

“Kita dalam proses membuat pengecaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dan telah mengambil keterangan daripada dua individu yang didakwa berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, polis juga sedang meneliti beberapa laporan polis bagi membuka kertas siasatan dan buat masa ini kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan.

Media tempatan semalam melaporkan penduduk Bachang digemparkan dengan kejadian kira-kira 30 batu nisan di Tanah Perkuburan Islam As-Syakirin dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab kira-kira jam 8.00 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menerima satu laporan polis berhubung tanah perkuburan diceroboh dan batu nisan dirosakkan pada pukul 10.20 malam tadi.

Beliau berkata, hasil daripada aduan daripada seorang lelaki berumur 41 tahun, polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 297 kanun keseksaan kerana menceroboh.

“Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak polis dan kes masih dalam siasatan,” katanya.

Afzanizar berkata, menurut pengadu terdapat 30 buah kubur dirosakkan dan dua daripadanya mempunyai kesan terbakar.

Katanya pihak polis meminta saksi kejadian atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes tersebut segera tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan

– BERNAMA

-Foto : Facebook Media Melaka

Categories
SELANGOR

Jajaran LRT3 tak libatkan kubur Simpang Lima

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 23 SEPT: Pelaksanaan projek jajaran Transit Aliran Ringan Laluan 3 (LRT3) dari Bandar Utama ke Johan Setia tidak akan melibatkan tapak Tanah Perkuburan Islam Simpang Lima, Klang.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Haris Kasim berkata, pihaknya sudah mengadakan satu perbincangan khas dengan pihak konsesi serta beberapa agensi yang terlibat, pada 22 September lalu.

“Melalui perbincangan itu, Jais dimaklumkan bahawa jajaran LRT3 tidak melibatkan tapak perkuburan Islam Simpang Lima, Klang.

HARIS JAIS“Salah faham berlaku apabila pihak konsesi mula melaksanakan bancian terhadap beberapa tapak kubur orang Islam berhampiran kawasan jajaran seperti dalam pelan pelaksanaan projek,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Jais juga mengambil maklum bahawa tidak akan berlaku perpindahan kubur seperti didakwa, sebaliknya bancian yang dilaksanakan adalah sebagai memenuhi keperluan pengurusan risiko pembangunan dan kajian impak ke atas projek LRT3.

Selain itu, Haris berkata, ia bertujuan untuk mengenal pasti waris mereka yang dikebumikan di tapak perkuburan itu sebagai data rujukan berkaitan pengurusan risiko.

Katanya, Jais dimaklumkan, pihak konsesi akan memanggil waris yang dikenal pasti daripada bancian yang dilaksanakan untuk diberi penerangan dan penjelasan.

“Oleh itu, kami menyeru kepada waris yang akan dikenal pasti pihak konsesi menerusi bancian supaya dapat memberi kerjasama yang baik. Sebarang permasalahan serta pertanyaan yang timbul berhubung perkara ini boleh rujuk terus kepada Pejabat Agama Islam daerah Klang,” katanya.

Pada 18 September lalu, kira-kira 100 waris anggota keluarga yang dikebumikan di tanah perkuburan itu meminta jajaran projek LRT3 dialihkan kerana didakwa merentasi kawasan kubur berkenaan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Penguatkuasa MPK bantu waris ziarah kubur pagi raya

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 JUL: Bekerja ketika orang lain sedang menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan sanak saudara tentu amat menyedihkan bagi petugas di beberapa agensi dan jabatan.

Walapaun berpeluang bercuti beberapa hari selepas Aidilfitri, namun keadaannya sama sekali tidak akan sama dengan suasana beraya pada raya pertama.

kubur 4Tidak ketinggalan penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang ditugaskan membawa waris dan keluarga menziarahi tanah perkuburan di Kampung Delek, Klang.

Pengarah Penguatkuasa MPK, Andry Arman Masrom memuji tugas murni beberapa anggota yang ditugaskan pada hari raya pertama itu.

Katanya, tahun ini adalah kali kedua inisiatif membawa waris ke tapak perkuburan itu dilakukan.

Beliau berkata, ia bertujuan untuk mengawal lalu lintas selain memudahkan waris ke tanah perkuburan.

“Kita menyediakan dua buah van. Kita mahu waris atau keluarga meninggalkan kenderaan di luar tapak perkuburan.

“Tugas ini memudahkan orang awam yang ingin menziarahi kubur waris tanpa perlu membawa kenderaan di dalam kawasan perkuburan.

kubur 5“Jika tidak, ia akan sibuk dengan kenderaan. Malah, mungkin juga tidak khusyuk berdoa kerana gangguan dari kenderaan lain,” katanya kepada Selangor Kini.

Andry berkata, lima anggota penguatkuasa akan bertugas bermula jam 6 pagi hingga 2 petang untuk membawa waris.

Katanya, penguatkuasa yang bertugas juga dapat membantu orang kurang upaya dan warga emas.

Beliau turut memuji kegigihan penguatkuasa yang sanggup meninggalkan keluarga bagi melaksanakan tugas murni itu.

Katanya, kesedihan yang bertamu pada pagi Aidilfitri cuba dibuang jauh oleh penguatkuasa yang bertugas.

“Bukan semua orang faham dan sanggup bekerja pada hari raya. Tetapi mereka boleh dan setakat ini tiada sebarang masalah.

“Saya percaya mereka memahami tugas murni mereka ini,” katanya.

Tanah perkuburan Kampung Delek di bawah seliaan MPK itu menempatkan kira-kira 8,000 jenazah dengan keluasan 28 ekar.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Ziarah kubur tidak terhad hari raya sahaja

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JULAI: Amalan menziarahi pusara yang sering dijadikan rutin Aidilfitri seharusnya dilakukan secara lebih kerap dan bukan terhad ketika pagi raya sahaja.

Bagi, Akmal Auzal, 28, berkata umat Islam di negara ini sudah terbiasa dengan tabiat menziarah dan membersihkan pusara pada musim perayaan sahaja.

kubur“Rasanya tidak perlu tunggu sampai pagi Syawal baru hendak ke kawasan perkuburan hingga kadang-kadang sudah tidak tahu mana satu kubur yang hendak diziarah pun ada.

“Jadi, tabiat ini perlu diubah dan kerapkan lagi amalan menziarahi kubur, rasanya tiga hingga empat kali sudah cukup kalau tidak dapat lakukan selalu.

“Namun, saya tidak katakan salah untuk ziarah di pagi Syawal, amalan itu bagus tetapi jangan terhadi pada hari raya sahaja,” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, Ismail Abdul Hamid, 51, pula berkata amalan menziarahi pusara mampu mendekatkan diri dekat Allah SWT dan meningkatkan taqwa.

Ismail“Kita kena selalu pergi ke kubur, bukan sahaja dapat bersihkan kubur kaum keluarga tetapi boleh membuatkan kita juga ingat akan mati selalu.

“Bila sudah ingat mati, maka kita akan dekatkan diri kepada Allah, ingatkan diri bahawa yang di dunia ini sementara kerana bila-bila masa boleh jadi penghuni kubur.

“Selain itu, kita juga dapat doakan yang di dalam sana kerana ia akan jadi cahaya buat mereka,” katanya yang berasal daripada Kuala Selangor.

-NFN-