Categories
SELANGOR

Jelajah serata tempat jejak sejarah sahih penubuhan Malaysia

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 10 SEPT : Demi mencari kesahihan sebenar sejarah penubuhan Malaysia, Pengarah Muzium Warisan Akademik UKM, Dr Mohd Shamsudin merantau ke merata tempat mendapatkan hasil penyelidikan bagi penghasilan naskah ‘Persekutuan Malaysia 1961-1966 : Penubuhan dan Cabaran’.

Katanya, beliau mengambil masa 10 tahun membuat penyelidikan mendalam bermula dengan perbincangan dalam kalangan pegawai British terhadap rancangan penyatuan Tanah Melayu dengan wilayah British di Asia Tenggara selepas Perang Dunia Kedua.

“Selain arkib Malaysia, saya turut ke Nasional Arkib di Landon, Australia dan Amerika bagi mendapatkan bahan sahih serta bertemu beberapa tokoh sejarah yang pernah terlibat ketika penubuhan Malaysia.

“Penulisan ini mendedahkan kepada dua perkara penting iaitu usaha penubuhan serta cabaran yang dihadapi oleh Persekutuan Tanah Melayu ketika dipimpin Tunku Abdul Rahman,” katanya.

dr-mohd-shamsudinBeliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Memori Kemerdekaan PPAS dan Majlis Pelancaran Buku ‘Persekutuan Malaysia 1961-1966:Penubuhan dan Cabaran’ di Auditorim PPAS, di sini, semalam.

Kesungguhan penulisan buku itu bermula apabila Mohd menyedari tidak ramai penulis tanah air menulis mengenai penubuhan Malaysia, sebaliknya ia ditulis oleh penulis luar yang sering memberikan tafsiran tidak tepat mengenai tokoh dan peristiwa sebenar.

Beliau berharap dengan penerbitan buku ini masyarakat akan dapat pelajari dan hargai tokoh-tokoh terdahulu.

“Dengan penghasilan buku ini saya berharap rakat Malaysia khususnya akan lebih berbangga dengan negara kita kerana sewaktu penubuhannya ia tidak mudah dalam menghadapi pelbagai cabaran serta unik dengan kesepakatan dan persetujuan bersama terhadap perlembagaan pada ketika itu,” katanya.

Penubuhan Malaysia melibatkan ramai tokoh dari Selangor antaranya bekas Gabenor Bank Negara, Tun Ismail Mohd Ali yang merupakan teman rapat Perdana Menteri Malaysia Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Seorang lagi anak Selangor yang menjadi tokoh penting dalam penubuhan Malaysia ialah bekas Ketua Setiausaha Negara keempat, Tan Sri Abdul Kadir Shamsuddin yang pada ketika penubuhan Malaysia memegang jawatan sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan.

-nR-