Categories
SELANGOR

Bersih sampah haram, MPSJ tanggung kos ratusan ribu

OLEH LIZAWAT MADFA

SUBANG JAYA, 9 SEPT: Kos kerja pembersihan tapak pembuangan sampah haram di Taman Perindustrian Puchong mampu mencecah ratusan ribu.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Muhammad Azli Miswan, berkata pihaknya terpaksa mengambil inisiatif lain bagi meminimakan kos berkenaan.

“Bagi mengurangkan beban MPSJ, kita membuat keputusan untuk menanam baki sampah di sini.

“Jika tidak, kos yang kini berpuluh ribu akan semakin bertambah kerana kita perlu membayar kontraktor menguruskan pengeluaran dan pelupusan sampah daripada kawasan ini,” katanya kepada Selangor Kini.

img_4999Semalam, beliau menyertai lawatan tapak di kawasan berkenaan bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han.

Tapak haram sepanjang 1.3 kilometer di tebing Sungai Klang itu merupakan rizab sungai di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Azli berkata, MPSJ membersihkan kawasan agensi lain atas dasar tanggungjawab sosial.

“Kebiasaannya kawasan yang menjadi pilihan tapak haram ini bukan milik MPSJ sebaliknya milik JPS, tanah kerajaan mahupun persendirian.

“Namun, kita mengambil langkah membersihkan demi kesejahteraan bersama,” katanya.

-nR-