Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kajian penguatkuasaan baru dasar bebas polisterin 2017

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 SEPT: Penguatkuasaan baru bakal dikaji terhadap sebarang kesalahan membabitkan peniaga yang menggunakan beg plastik dan polisterin, menjelang 2017.

Timbalan Datuk Bandar MBSA, Mohd Syukri Mohd Hamin berkata, pihaknya masih menunggu garis panduan baru daripada Kerajaan Negeri berhubung dasar dan polisi baru itu.

“Tahun ini dijalankan kempen kesedaran kepada pengguna dan peniaga, namun untuk tahun hadapan kita akan gerakkan penguatkuasaan secara menyeluruh.

“Namun, di peringkat Kerajaan Negeri kami masih belum mendapat garis panduan daripada terkini terhadap perkembangan ini.

img_20160928_173139_658“Bagaimanapun saya percaya, ada kemungkinan di seluruh Selangor akan menerima arahan penguatkuasaan terhadap polisi dan dasar baru ini,” katanya di sini, semalam.

Terdahulu, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Elizabeth Wong berkata, surat pekeliling sudah mula diedarkan di seluruh negeri membabitkan dasar polisi baru penghentian penggunaan polisterin, tahun depan.

Peringkat awalnya, peniaga bazar Ramadan disaran supaya tidak menggunakan beg plastik dan polisterin dalam urusan perniagaan, sejak Jun lalu.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri mula mengharamkan penggunaan polisterin pada majlis rasmi Kerajaan Negeri sebagai inisiatif menyokong matlamat tersebut, sejak awal tahun lalu.

Pada masa sama, Mohd Syukri berkata, MBSA terus konsisten memberi pendedahan kepada orang awam mengenai isu dan maklumat kepenggunaan berkait polisi baru itu.

“Ini termasuk galakan penggunaan bekas makanan mesra alam (biodegradable bag), pemerkasaan kempen kitar semula dan galakan kempen kitar semula minyak masak,” katanya.

-NFN-