Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

12,580 pengundi Pelabuhan Klang dipindahkan, kaum Cina paling terjejas

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 29 SEPT: Seramai 11,814 pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dipindahkan ke DUN lain dalam Syor Cadangan Kajian Persempadan Semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Cadangan yang dipamerkan kepada umum bermula 15 September hingga 14 Oktober itu menjadikan jumlah terbaru pengundi DUN berkenaan berkurangan kepada 28,604 berbanding sebelum persempadanan seramai 40,418.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Azmizam Zaman Huri berkata, cadangan persempadanan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan yang dipindahkan adalah 12,580 orang termasuk 766 yang dipindahkan dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) yang diwartakan, pada Mac lalu.

“SPR sekali lagi menjadi boneka BN apabila mengumumkan Syor Cadangan Kajian Persempadanan Semula yang ternyata lebih memihak kepada BN pada pilihan raya akan datang.

20160928_143022“Di Selangor, hampir keseluruhan kerusi Parlimen dan DUN terutama dimenangi KEADILAN disabotaj apabila semua daerah mengundi dan lokaliti di setiap parlimen serta DUN disusun semula demi memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya.

Azmizam yang juga Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat (MPP) berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Pelabuhan Klang, di Taman Pandamaran, di sini, semalam.

Katanya, seramai 7,560 atau 60 peratus daripada 12,580 pengundi yang dipindahkan itu berumur bawah 40 tahun yang dianggap sebagai golongan berfikiran lebih terbuka dan celik dengan perkembangan politik dan isu semasa.

Mengikut komposisi kaum pula, jumlah pengundi Cina paling ramai dipindahkan membabitkan 6,470 orang kebanyakannya ke tiga DUN berhampiran yang dikuasai DAP iaitu Kota Alam Shah, Pandamaran dan Sungai Pinang menjadikan jumlah pengundi Cina di Pelabuhan Klang selepas persempadanan kepada 5,194 orang berbanding sebelum persempadanan 11,664.

Keadaan ini, sekali gus menjadikan peratusan pengundi Cina di Pelabuhan Klang merosot kepada 18 peratus berbanding sebelum persempadanan, 28 peratus.

20160928_152157

Pada PRU-13 lalu menyaksikan DAP menang besar di Kota Alam Shah dengan majoriti 13,369 undi, Pandamaran (majoriti 9,176 undi) dan Sungai Pinang (majoriti 11,309 undi), manakala bagi DUN Pelabuhan Klang pula, KEADILAN menang dengan hanya majoriti 2,994 undi sahaja.

Katanya, pemindahan pengundi secara besar-besaran itu jelas satu penipuan secara terang-terangan cuba membantu memenangkan BN di DUN Pelabuhan Klang.

Sementara itu, pemindahan pengundi Melayu pula hanya melibatkan 2,973 orang kepada 18,677, sekali gus meningkatkan dominasi pengundi Melayu kepada 65 peratus berbanding sebelum persempadanan seramai 21,650 atau 53 peratus.

Manakala bagi pengundi India pula, seramai 2,615 orang dipindahkan menjadikan jumlah selepas persempadanan 4,670 (16 peratus) berbanding 7,285 (18 peratus) dan lain-lain kaum seramai 36 orang dipindahkan menjadikan 63 (0.22 peratus) berbanding sebelum persempadanan 99 (0.25 peratus).

-NFN-