Categories
SELANGOR

Karnival Sihat semai kesedaran amal gaya hidup aktif

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 25 SEPT: Karnival Sihat Selangor dianjurkan di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kehidupan sihat dan aktif.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi, berkata program digerakkan itu penting kerana hampir separuh rakyat negara ini mengalami masalah kesihatan terutama berat badan.

“Kerajaan Negeri mengambil inisiatif mengadakan kempen berjalan 10,000 langkah setiap hari ke arah gaya hidup sihat untuk diamalkan seluruh rakyat tanpa mengira peringkat umur.

“Aktiviti berjalan kaki ini adalah aktiviti rutin harian dan dalam masa sama ia senaman semula jadi yang mudah, murah, sihat dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Karnival Sihat Selangor anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Taman Rakyat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin; Ahli Parlimen Bukit Raja, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar.

Beliau berkata, program kali ini adalah yang keempat yang bermula pada 2014 dan pembaharuan dilakukan kini adalah setiap PBT menganjurkannya perlu berpandukan tema seperti MPK dengan “Pemakanan Sihat”.

Katanya, MPK adalah PBT kelapan menganjurkannya dan program dijalankan kali ini mendapat sambutan membanggakan dengan penyertaan pelbagai pihak dan orang ramai yang besar.

“Kira-kira separuh rakyat mengalami masalah berat badan serta juga obesiti dengan kajian dan mobiliti kebangsaan menunjukkan kelaziman obesiti kalangan dewasa iaitu berusia 18 tahun ke atas meningkat secara mendadak.

“Kelaziman obesiti meningkat daripada 4.4 peratus pada 1996 kepada 17.7 peratus (tahun lalu) manakala kelaziman peningkatan berat badan di kalangan orang dewasa adalan sebanyak 30 peratus.

“Hasil kajian pada tahun lalu juga menunjukkan hampir separuh orang dewasa di negara ini mempunyai paras kolestrol tinggi iaitu 47.7 peratus,” katanya.

EZY