Categories
NASIONAL

Tangani masalah kenaikan kadar parkir melampau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 25 SEPT: Reformasi terhadap dasar Kerajaan Persekutuan membabitkan stuktur kadar parkir di sekitar Kuala Lumpur perlu dibuat, demi kelangsungan manfaat rakyat.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, berkata cadangan itu sebagai jaminan komitmen Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengukuhkan peranan sebenarnya.

“Penggubalan dasar yang mendatangkan kesan kepada rakyat tidak patut dibuat hanya berasaskan maklumbalas satu dua komuniti secara tangkap muat.

“Ia sepatutnya dibuat beraskan data dan bukti dengan proses rundingan orang ramai,” katanya dalam kenyataan.

Beliau membidas kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Amin Noordin Abdul Aziz yang mendakwa kononnya masyarakat menyambut baik inisiatif DBKL menaikan kadar caj parkir di Kuala Lumpur.

Beliau mendakwa, maklum balas mengenai pengumuman tersebut hasil daripada tinjauan pihaknya di sekitar Bangsar dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Kajian hanya dibuat di Bangsar dan TTDI. Bagaimana pula pendapat penduduk di Jinjang, Taman Seri Sentosa, Taman OUG di Keramat, Raman Dato Senu di Danau Kota dan kawasan lain?

Adakah Datuk Bandar juga mendapat maklum balas serupa dari semua penduduk?

“Saya tidak dapat melihat komitmen DBKL dalam melaksanakan langkah reformasi institusi seperti ini,” kata Fahmi.

EZY