Categories
SELANGOR

Kayuhan Hari Malaysia MPSJ-KPMC Puchong kembali lagi

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 SEPT: Program Kayuhan Hari Malaysia MPSJ-KPMC Puchong 2016 kembali lagi untuk tahun
keenam, pada 3 September ini.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Muhammad Azli Miswan berkata, program itu bertujuan menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat.

Katanya, ia juga sebagai salah satu usaha merealisasikan misi ‘Menjadikan Perbandaran MPSJ Sejahtera, Bestari dan Dinamik’.

“Program ini adalah platform komuniti bertemu dan beramah mesra menerusi aktiviti berbasikal secara berkumpulan juga berkeluarga.

“Selain berbasikal, kita juga selitkan program pemeriksaan kesihatan percuma, derma darah, jualan barangan basikal dan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad AzliMula dilaksanakan pada 2011, program kali ini dijangka menarik penyertaan lebih 300 peserta berbasikal dengan jarak kayuhan sejauh 18 kilometer (km) berbukit.

Program dijadual bermula jam 7.30 pagi di KPMC Puchong Specialist Centre di Jalan Puteri 2/1, Bandar Puteri Puchong.

Azli berkata, setiap peserta diwajibkan menggunakan basikal dengan ciri keselamatan lengkap.

“Selain memastikan brek dalam keadaan baik, peserta juga diwajibkan memakai helmet dan digalakkan menggunakan basikal jenis ‘mountain bike’ (MTB),” katanya.

-AA-