Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kewangan disatukan Kerajaan Negeri cecah RM3.6 bilion, ekonomi Selangor terus cemerlang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 SEPT: Selangor mempamer prestasi ekonomi membanggakan dengan mengatasi pencapaian tahun lalu apabila kewangan disatukan Kerajaan Negeri mencecah RM3.603 bilion, pada 31 Ogos lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, ia adalah pencapaian memberangsangkan diraih Kerajaan Negeri walaupun situasi ekonomi global tidak menentu masa kini.

“Hasil perancangan teliti dan kerja keras kita semua, impak ketidakstabilan ekonomi dapat diseimbangkan dengan prestasi kewangan Kerajaan Negeri yang amat memberangsangkan.

MOhd Amin1“Setakat 31 Ogos ini, kumpulan wang disatukan Kerajaan Negeri mencecah RM3.603 bilion berbanding RM3.258 bilion, tahun lalu.

“Dengan suku tahun ketiga tahun ini belum berakhir, kita berjaya mengatasi pencapaian keseluruhan tahun lalu dan ini adalah suatu pencapaian amat luar biasa bagi kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri dan Penyerahan Bendera Kepada Kontinjen SUK Selangor ke Kejohanan SUK SeMalaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali; Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh; Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Kim, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ean Yong Hian Wah.

Beliau berkata, setakat ini Kerajaan Negeri juga mencatat kutipan hasil negeri menggalakkan sebanyak RM1.981 bilion iaitu 88.03 peratus daripada anggaran tahun ini berjumlah RM2.25 bilion.

“Kutipan hasil tanah dan premium tanah juga mencatat 94.57 peratus serta 97.47 peratus dengan suku ketiga tahun ini belum berakhir, kita berjaya mencapai hampir 100 peratus daripada anggaran ditetapkan,” katanya.

-NFN-