Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mansuh kuota 10% bumiputera pembohongan Noh Omar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri sudah berbincang terlebih dahulu dengan pemaju supaya harga pangsapuri perkhidmatan, rumah pejabat (SOHO) dan pejabat maya di rumah (SOVO) diselaraskan antara RM230,000 hingga RM270,000.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu turut mendapat makluman Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Redha).

Justeru, katanya, kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dalam isu pemansuhan diskaun 10 peratus bumiputera yang dibangkitkan mutakhir ini disifatkan sebagai pembohongan.

“Dato’ Iskandar Abdul Samad sudah memberi penjelasan kuota jualan untuk bumiputera dikekalkan dan Kerajaan Negeri melakukan penyelarasan harga SOHO juga SOVO.

“Sebelum ini harga SOHO dan SOVO nilainya lebih RM450,000, kalau beri (diskaun) 10 peratus harganya dalam RM45,000, mereka tidak mampu membelinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan isu pemansuhan kuota 10 peratus bumiputera seperti didakwa Noh Omar sebelum ini.

IMG_2708Mohamed Azmin turut membangkitkan persoalan pengkhianatan yang dilakukan Kerajaan Negeri sedangkan penyelarasan harga itu memberi peluang lebih besar kepada bumiputera memiliki SOHO dan SOVO.

Katanya, harga hartanah itu juga sebelum ini tinggi kerana ia berstatus komersil dan perniagaan, bukan kediaman.

“Harga jualan bumiputera bagi projek lain kekal, tiada sebarang pembatalan.

“Kita mahu memberi keadilan kepada semua rakyat Selangor tanpa menjejaskkan hak bumiputera. Sebab itu kita tidak membatalkan harga jualan khusus kepada bumiputera, malahan berusaha membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki SOHO dan SOVO,” katanya.

-AA-