Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Selangor fokus tindakan undang-undang terhadap SPR

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 23 SEPT: Kerajaan Selangor kekal dengan pendirian tidak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal dan akan meneruskan pentadbiran negeri seperti biasa mengikut mandat diberikan rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Mohamed Azmin Ali, berkata sebaliknya kini memberi tumpuan bagi membantah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) daripada segi perundangan sekiranya boleh berbuat demikian.

“Saya sudah nyatakan, Kerajaan Selangor membuat keputusan tiada PRN dan fokus kita untuk melihat keperluan bagi mengambil tindakan undang-undang.

img_6317“Selepas mendengar semua nasihat peguam, kita mahu menumpukan usaha daripada segi perundangan bagi membantah SPR,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata demikian ketika mengulas kemungkinan Kerajaan Pulau Pinang mengadakan PRN awal sebagai bantahan terhadap cadangan persempadanan semula dikemukakan SPR bagi pilihanraya umum ke 14 (PRU14).

Beliau berkata, pihaknya kini menanti keputusan barisan peguam bagi tindakan itu dan ia akan diketahui hari ini.

“Ia dalan tempoh 48 jam dan saya sudah menghantar suratnya. Kita tunggu sehingga esok (hari ini),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, mengenai perkara dinyatakan itu.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya yakin perbincangan akan diadakan sekiranya terdapat keperluan bagi mengadakan PRN berkenaan.

“Saya rasa perkara itu akan dibincangkan dan ia tertakluk kepada hasil perbincangan. Suasana berbeza (antara Selangor dan Pulau Pinang) dan kita kena dengar dahulu akan cadangannya,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan perkara terbabit tidak dipastikan sama ada sudah dibincangkan bersama Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau sebaliknya.

“Mungkin dia (Guan Eng) sudah hubungi Presiden KEADILAN, saya tidak pasti,” katanya.

-NFN-