Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Tujuh universiti Malaysia tersenarai 980 terbaik dunia

SHAH ALAM, 23 SEPT: Tujuh universiti negara ini tersenarai antara 980 teratas dalam Ranking Universiti Dunia Times Higher Education (THE) 2016-17.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berada dalam kelompok 601-800, manakala Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam kelompok 801 ke atas.

Sementara itu, Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) buat pertama kali berjaya tersenarai dengan masing-masing dalam kelompok 601-800 dan 801 ke atas.

universiti“Ia adalah berita yang hebat apabila tujuh universiti Malaysia berada dalam senarai terbaru universiti terbaik dunia, termasuk lima yang berada dalam kelompok 601-800,” kata pengarang Ranking Universiti Dunia THE, Phil Baty.

Memetik Bernama, Baty berkata, Malaysia melakukan pelaburan yang besar dalam pengajian tinggi dan memasarkannya sebagai ekonomi pengetahuan dan hab inovasi sejak kebelakangan ini.

“Bagaimanapun, universiti awam negara ini berdepan pemotongan bajet 15 peratus tahun ini, selepas ekonomi terjejas akibat penurunan harga minyak dan komoditi,” katanya.

Secara keseluruhan, 21 universiti dari rantau ini berjaya berada dalam senarai itu tahun ini, berbanding 15 universiti tahun lalu dan Filipina tersenarai untuk kali pertama, manakala Indonesia berjaya menggandakan jumlahnya kepada dua.

Lima universiti terbaik dunia adalah University Oxford, United Kingdom yang berada di tempat pertama, diikuti California Institute of Technology dan Stanford University, kedua-duanya di Amerika Syarikat; University Cambridge, United Kingdom di tempat keempat dan Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat di kedudukan kelima.