Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB turun padang santuni masyarakat Sabak Bernam

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SABAK BERNAM, 2 SEPT: Tidak hanya menunggu semasa pilihan raya, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali punya cara tersendiri untuk mendekati rakyat Selangor.

Komitmen itu dizahirkan menerusi gerak kerja turun padang bagi mendekati masyarakat luar bandar di kawasan Sungai Besar dan Sekinchan, pagi ini.

Program turun padang seawal jam 8.30 pagi itu dimulakan dengan sesi sarapan di Warung Jawa Balairaya JKKK, Parit 7 Baroh.

Kehadiran pemimpin tertinggi negeri itu cukup disenangi dan disambut positif masyarakat Sabak Bernam, walaupun kawasan terbabit dikenali sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Mengenepikan sentimen politik, Mohamed Azmin tidak betah bersalaman dan beramah mesra bersama penduduk setempat.

Hadir sama menemani beliau, Exco Kerajaan Negeri, Zaidy Abd Talib, Dr Daroyah Alwi dan Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

WhatsApp Image 2016-09-02 at 9.15.14 AMTurut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim; ADN Meru, Dr Abdul Rani Osman; ADN Sabak, Sallehin Mukhyi; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Program seterusnya, Mohamed Azmin melakukan pemantauan Projek Pusat Pengumpulan Ikan dan sesi perbincangan bersama nelayan di Jalan JPT Bagan Sekinchan.

Mohamed Azmin turut mendengar taklimat dan cadangan projek baru oleh ADN Sekinchan sebelum meneruskan program ke Bagan Terap.

Pada masa sama, Mohamed Azmin dijangka bakal mengumumkan berita gembira buat golongan nelayan, di sini.

-AA-