Categories
SELANGOR

Memori Aidiladha, darah qurban semai hasil durian

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU TIGA, 12 SEPT: Mengimbau pengalaman melakukan ibadat qurban, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkongsi kisah yang dianggap cukup istmewa buat dirinya.

Bercakap kepada SelangorKini, berlaku kisah yang masih cukup segar dalam ingatannya hasil daripada kesucian ibadat qurban dilakukan beliau bersama penduduk setempat ketika itu.

“Saya masih ingat, ketika diundang untuk perasmian majlis ibadat qurban dulu, ada kejadian dan pengalaman yang cukup bermakna yang masih saya ingat sehingga kini.

image“Ada seekor lembu diikat pada sebatang pokok durian yang sudah lama tidak berbuah. Namun, apabila upacara qurban dibuat di kawasan itu, tidak lama kemudian pokok durian berkenaan berbuah.

“Mungkin kejadian yang berlaku ini mempunyai hikmah dan kebesaran di sebalik darah lembu qurban yang mengalir di pagi Aidiladha waktu itu,” katanya.

Cerita Rodziah lagi, peristiwa tersebut juga menyingkap makna cukup besar di sebalik ibadat qurban yang dituntut dalam Islam.

“Selepas kejadian itu, saya kerap dipanggil penduduk untuk turun melihat dan merasai hasil buah daripada pokok durian itu. Apa yang berlaku itu cukup menjadi iktibar untuk saya dan penduduk sehingga kini,” katanya.

image-3Ibadat qurban dilaksanakan seluruh masyarakat Islam sebagai mengenang peristiwa pengorbanan dilakukan Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih puteranya, Nabi Ismail.

Patuh kepada perintah itu, Nabi Ibrahim mengorbankan Nabi Ismail menggunakan sebilah parang tajam, namun parang berkenaan tidak berfungsi seperti diharapkan.

Kejadian tersebut merupakan mukjizat Allah yang menegaskan bahwa perintah pergorbanan Ismail itu dianggap sebagai ujian kesetiaan nabiNya.

Lantas Nabi Ismail digantikan dengan seekor kambing untuk dikorbankan, sekali gus menjadi permulaan kepada sambutan Aidiladha di seluruh dunia.

-NFN-