Categories
SELANGOR

Memori Kemerdekaan PPAS semarak semangat patriotisme

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-59, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menganjurkan Program Memori Kemerdekaan bagi menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan masyarakat.

Ahli Lembaga Pengarah PPAS, Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir, berkata program kali ini mendapat kerjasama Muzim Warisan Akademik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam memberi suntikan baru dalam pengisian program.

“Program itu wajib diadakan setiap tahun dengan menganjurkan pelbagai aktiviti antaranya kempen mengibarkan Jalur Gemilang, bicara kemerdekaan, pameran filateli berasaskan kemerdekaan, tayangan filem berunsur patriotik serta pameran bahan-bahan sejarah yang terdapat di perpustakaan.

“Aktiviti ini melibatkan seluruh golongan pengguna perpustakaan bermula dari anak-anak sehingga ke peringkat tertinggi, atasan serta warga emas,” katanya.

buku-penubuhan-malaysiaBeliau berkata demikian ketika Program Memori Kemerdekaan PPAS dan Majlis Pelancaran Buku ‘Persekutuan Malaysia 1961-1966:Penubuhan dan Cabaran’ di Auditorim PPAS, di sini, pagi tadi.

Katanya, penulisan buku tersebut telah menjalankan kajian secara mendalam mengenai sejarah penubuhan Malaysia dengan rekod dan dokumen yang berkaitan Malaysia.

“Buku ini sangat penting untuk masyarakat khususnya anak muda mengetahui sejarah sebenar usaha dan cabaran ketika penubuhan Malaysia iaitu gagasan pembentukan negara-bangsa.

“Kerana tajuk ini juga sering diberikan gambaran tidak tepat oleh penulis luar mengenai tokoh dan peristiwa sebenar, jadi saya amat berbangga saudara Mohd sanggup berdiri memperbetulkan salah faham peristiwa penubuhan Malaysia,” katanya.

Hadir Sama Pengarah PPAS, Mastura Muhamad dan Professor Emeritus, Tan Sri Dato’ Dr Khi Kay Kim selaku panel forum pada hari ini.

-nR-