Categories
SELANGOR

Pembangunan desa dan bandar perlu selari

OLEH AFIX REDZUAN

BANTING, 20 SEPT: Kajian Perancangan Fizikal Desa di Selangor diharapkan mampu membantu Kerajaan Negeri menentukan hala tuju pembangunan desa supaya tidak terpinggir disebalik arus pembangunan bandar.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pembangunan desa perlu sejajar seperti di bandar bersesuaian dengan hasrat Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang mengangkat dasar Smart Selangor bagi 2016.

“Kajian ini penting kerana kita mahukan data yang tepat dan sebaik mungkin.

“Kita tidak mahu terpinggir disebalik pembangunan bandar yang pesat di Selangor asalkan ia dijalankan secara proaktif,” katanya.

sawah padiBeliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian penutup Bengkel Perbincangan Berkumpulan, Kajian Perancangan Fizikal Desa Negeri Selangor di Dewan Seri Jugra, Telok Datok, Banting.

Jelasnya, menerusi penyediaan Pelan Halatuju Strategik Perancangan Fizikal Desa Negeri Selangor, ia menjadi pelan perancangan holistik pembangunan luar bandar.

Pelan pembangunan ini melibatkan kampung tradisional, kampung tersusun, kampung baru, kampung orang asal dan kampung bagan.

Ahmad Yunus berkata, kajian ini dijangka selesai pertengahan 2017 dan pelaksanaan hasil dapatan akan cuba dimasukkan dalam Belanjawan 2018.

Bengkel yang memasuki sesi keenam dimulakan lebih sebulan lalu ini melibatkan sembilan daerah di Selangor.

EZY