Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Persekutuan digesa fokus selesai masalah perumahan rakyat

SHAH ALAM 20 SEPT: Kerajaan Persekutuan digesa menyelesaikan masalah perumahan rakyat serta dinasihati berhenti menyerang Kerajaan Selangor dalam isu itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata kenyataan pegawai kementerian yang mempertikai polisi perumahan Kerajaan Negeri dibuat tanpa menyedari fakta sebenar.

“Kenyataan dikeluarkan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Johan Abdul Aziz mempertikaikan polisi perumahan Kerajaan Negeri dan mendakwa syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) tidak lagi membina rumah rakyat.

“Mungkin beliau baru dilantik ke jawatan tersebut oleh yang demikian tidak menyedari bahawa PKNS membina projek rumah mampu milik yang pertama di Bandar Baru Bangi dan ia diduduki sejak 2015.

“Saya nasihatkan agar kementerian yang bertanggungjawab menumpukan usaha untuk menyelesaikan masalah perumahan rakyat dan berhenti menyerang Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan media.

selangorku rumahSebelum ini, Johan dilaporkan mahu Kerajaan Selangor memberi penjelasan ketelusan tentang polisi Rumah Selangorku

Iskandar berkata meskipun kenyataan itu menunjukkan kementerian enggan mengiktiraf keberkesanan polisi Rumah Selangorku namun permohonan PRIMA mengambil alih salah sebuah projek itu merupakan bukti kerajaan melihat kepentingan polisi dalam menyelesaikan masalah perumahan rakyat.

“Pada bulan Jun lalu, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor bersetuju sebuah projek Rumah Selangorku pemaju swasta dijadikan projek PRIMA dengan nama baru, Selangorku PRIMA.

“Kerajaan Negeri melihat terdapat lebih 20,000 unit Rumah Selangorku yang diluluskan maka tidak ada masalah untuk melepaskan sebahagian kecil darinya kepada PRIMA. Projek tersebut adalah di Cyber 11, Cyberjaya yang mengandungi 1,932 unit rumah mampu milik.

Pada hakikatnya walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap Kerajaan Selangor namun Kerajaan Persekutuan memerlukan Rumah Selangor untuk mencapai sasaran perumahan mereka,” katanya.

EZY