Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pemimpin antarabangsa kagumi amalan urus tadbir baik Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 23 SEPT: Keupayaan Kerajaan Negeri mempertahankan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan urus tadbir yang baik bagi menghasilkan pertumbuhan ekonomi positif menarik perhatian pemimpin masyarakat antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu berikutan pertumbuhan ekonomi yang positif sepanjang tempoh dua tahun beliau menerajui Kerajaan Negeri berjaya menawarkan suasana pelaburan kondusif kepada pelabur negara terbabit di Selangor.

“Sejak kebelakangan ini, Selangor mendapat perhatian daripada pimpinan masyarakat antarabangsa bukan sahaja duta asing tetapi pemimpindunia yang berkunjung ke Selangor sejak beberapa bulan lalu.

kunjungan-1“Bukan sahaja kerana melihat peluang pelaburan ekoran merasakan Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik tetapi ingin melihat bagaimana keupayaan negeri ini memastikan pengurusan kewangan dan ekonomi dikaitkan dengan urus tadbir cukup baik hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pencapiannya sepanjang dua tahun dilantik sebagai Menteri Besar pada Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Dari LDP ke Jalan Utama 2, Puchong Utama, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antaranya kunjungan hormat Setiausaha Kewangan Perbendaharaan United Kingdom (UK), Jane Ellison dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Vicki Treadell di pejabatnya, pada 21 September lalu.

“Terbaru, Setiausaha Perbendaharaan United Kingdom berkunjung ke Selangor dan bertemu saya merakamkan rasa gembira Kerajaan Britain melihat pengurusan Kerajaan Negeri yang mempertahankan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban serta urus tadbir yang baik bagi menghasilkan satu pertumbuhan ekonomi positif dan suasana pelaburan cukup kondusif kepada pelabur United Kingdom,” katanya.

Sejak Mohamed Azmin menerajui Kerajaan Negeri, Selangor sering menerima kunjungan pemimpin negara luar yang berminat mengukuhkan hubungan dua hala khususnya melibatkan hubungan perdagangan.

Selain UK, antara delegasi lain yang pernah mengadakan kunjungan hormat terhadap beliau adalah pemimpin New Zealand, Singapura dan Britain.

-NFN-