Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB terima kejutan, anggap tempoh dua tahun satu perjalanan jauh

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 23 SEPT: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menerima kejutan daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan satu sambutan ringkas sempena ulang tahun kedua beliau dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor yang jatuh, pada hari ini.

Pengumuman itu dibuat sebaik sahaja Mohamed Azmin selesai merasmikan dan melawat persimpangan bertingkat sebelum disusuli acara memotong pulut kuning yang disediakan MPSJ diiringi Yang Dipertuanya, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Mohamed Azmin yang hadir untuk merasmikan Persimpangan Bertingkat Dari LDP ke Jalan Utama 2, Puchong Utama, di sini, turut menerima kad ucapan tahniah yang ditandatangani warga kerja MPSJ.

cp2a5403-800x533Bercakap pada sidang media, Mohamed Azmin berkata, walaupun tempoh dua tahun yang dilaluinya sebagai Dato’ Menteri Besar merupakan satu tempoh yang singkat, namun menganggapnya sebagai satu perjalanan jauh lagi mencabar.

“Walaupun tempoh dua tahun adalah satu tempoh singkat, namun perjalanannya begitu jauh dan cabaran begitu besar kerana kita sedia maklum Selangor adalah negeri maju.

“Saya gembira kerana mempunyai pasukan kuat dalam kalangan Ahli Dewan Negeri (ADN) dan anggota penjawat awam yang mendukung dasar yang kita luluskan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) dan Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) ,” katanya.

Katanya, Kerajaan Negeri berjaya menghasilkan semangat kerjasama yang kuat dan hubungan baik dengan pihak berkepentingan khususnya rakyat Selangor bagi membolehkan merencana rancangan pembangunan yang teratur, sepanjang dua tahun.

“Komitmen saya dan semua rakan dalam DNS dan juga rakan dalam MMKN iaitu kita akan terus berkerja kuat.

“Hari ini, kita sedang meneliti belanjawan 2017 dan oleh kerana kedudukan kewangan Selangor berada pada tahap cukup kukuh, maka kita akan memastikan belanja pembangunan seperti yang disaksikan pagi ini akan diteruskan juga dipertingkat kerana rizab besar itu perlu digunakan untuk kemakmuran serta kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.

-NFN-