Categories
SELANGOR

Pertemuan Kerajaan Negeri dan SPR bincang isu persempadanan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah memberikan jawapan balas terhadap suratnya yang mahu bertemu SPR bagi membincangkan isu persempadanan semula pilihan raya.

Katanya, beliau akan berbincang bersama peguam, Ambiga Sreenevasan sebelum mengeluarkan satu kenyataan lengkap mengenainya.

“SPR sudah menjawab surat saya dan saya terus merujuknya kepada peguam.

“Peguam ada pandangan mereka dan akan menyiapkan satu kenyataan yang akan saya keluarkan untuk menjawab surat SPR itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Menyantuni Suara Rakyat, Pimpinan Masyarakat Bersama Dato’ Menteri Besar di Dewan Jubli Perak semalam.

Mohamed Azmin berkata surat itu dihantar terus ke pejabatnya dan diterima semalam.

Pada 21 September lalu, Kerajaan Negeri menghantar surat untuk mengadakan pertemuan bersama SPR mengenai cadangan persempadanan semula pilihan raya.

Mohamed Azmin berkata pertemuan dengan SPR perlu supaya Kerajaan Negeri mendapat maklumat terperinci mengenai asas persempadanan semula tersebut.

Menurutnya, pertemuan tersebut juga diputuskan setelah Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) mengambil maklum cadangan SPR dan membantahnya.

EZY