Categories
NASIONAL SUKANKINI

Pingat emas Ziyad hadiah kelahiran bapa

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 12 SEPT: Muhammad Ziyad Zolkefli Othman, seorang bekas penjual kuetiau berjaya menjadi penyumbang emas acara lontar peluru di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil, pada 11 Septmber lalu.

Bapanya, Zolkefli Othman melahirkan rasa bangga atas kejayaan anaknya itu kerana menunaikan janji kepada beliau untuk menghadiahkan pingat emas buat keluarga.

“Masa saya hantar Ziyad di KLIA pada 1 September lalu, hari itu adalah hari jadi saya. Dia berjanji kepada saya akan membawa hadiah pingat emas. Kami sekeluarga sangat gembira dengan kejayaannya.

14322727_1463993180283945_7441967595086967044_n“Sebelum dia ke Majlis Sukan Negara, Ziyad berniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman menjual kuetiau.,” kata Zolkefli dipetik Bernama.

Ziyad, 26, melalui acara F20 (masalah pembelajaran) turut mencipta rekod dunia baharu dengan lontaran sejauh 16.84 meter pada percubaan kelima beliau di temasya sukan berprestij itu, pada 11 September lalu.

Zolkefli berkata, Ziyad anak sulung dari empatnberadik dan beliau memang meminati sukan sejak di sekolah rendah.

Zolkefli juga menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak kelainan upaya seperti Ziyad supaya sentiasa mendekati anak masing-masing kerana mereka mempunyai kelebihan luar biasa.

Selain Ziyad, dua lagi atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohd Puzi turut menyumbang emas kepada kontinjen negara menerusi acara 100m T36 lelaki (celebral palsy) dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh kategori T20 (kurang upaya intelektual) dengan catatan 7.60m dalam lompatan kelima.

-NFN-