Categories
AGENDA SUKANKINI

Selangor belum putuskan ganjaran kepada Ziyad

SHAH ALAM, 7 SEPT: Ganjaran kepada atlet para Selangor Mohd Ziyad Zolkefli yang mewakili negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 masih belum diputuskan.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata pihaknya akan bertemu jaguh lontar peluru negara itu terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan perkara itu.

“Saya akan jumpa Ziyad bersama atlet Selangor (ke Olimpik Tokyo) yang lain dalam masa terdekat, sekarang Ziyad menjalani kuarantin 14 hari.

“Sama ada Kerajaan Selangor beri ganjaran atau tidak, kita akan dimaklum pada sesi pertemuan itu nanti,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, penyertaan Ziyad dan pingat emas dimenanginya bagi acara lontar peluru lelaki F20 dibatalkan serta ditarik balik susulan bantahan daripada kem Ukraine.

Ia sekali gus menyebabkan catatan rekod dunia 17.94 meter (m) dilakukan Ziyad tidak diiktiraf.

Ziyad didakwa lewat melapor diri ke bilik menunggu dan kemenangan menjadi milik Maksym Koval dari Ukraine.

Pada 2017, Kerajaan Selangor menghadiahkan Ziyad rumah berkembar setingkat di Taman Selayang Mutiara, Selayang berharga RM360,000.

Ganjaran itu sebagai penghargaan atas kejayaannya memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil pada 2016 dalam acara lontar peluru F20.

Selain Mohd Ziyad, seorang lagi atlet kelahiran Selangor yang turut bertanding dalam kejohanan berprestij itu adalah Muhammad Hafiz Jamali dalam acara berbasikal.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Abdul Latif hanya pulang ke rumah selepas jalani pemulihan

SEPANG, 7 SEPT: Meskipun rindu kerana lama tidak berjumpa keluarga, pemenang pingat emas acara lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik sebanyak dua kali, Abdul Latif Romly tidak akan pulang terus ke rumahnya di Beseri, Perlis.

Jaguh lompat jauh para berusia 24 tahun itu mahu terlebih dahulu menjalani rawatan pemulihan bagi kecederaan pangkal paha yang dialami ketika melakukan lompatan keempat pada aksi di Paralimpik Tokyo 2020, sebaik tamat kuarantin wajib 14 hari sebelum balik bertemu ibu bapanya pada Oktober.

“Mungkin saya akan mengambil masa seminggu dua untuk kembali pulih. Sekarang keadaan saya dah okey, cuma ada koyak sedikit dalam 2.5 sentimeter. Mungkin tahap dua sahaja, tidak serius sangat,” katanya pada sidang media ringkas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari Tokyo, semalam.

Abdul Latif, yang memenangi emas pertamanya di Rio 2016, mengulangi kecemerlangannya di Tokyo apabila meraih emas dengan catatan lompatan 7.45m.

Sementara itu, seorang lagi pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo, Cheah Liek Hou mengakui teruja mencipta sejarah menjadi individu pertama muncul juara sukan badminton selepas sukan tersebut dipertandingkan buat kali pertama di temasya Paralimpik.

Juara kategori lelaki SU5 itu berkata beliau belum boleh berjanji untuk mempertahankan emas tersebut di temasya Paris 2024, tetapi akan mempertimbangkan perkara tersebut memandangkan usianya bakal mencecah 36 tahun ketika itu.

Mengulas mengenai kejayaan menewaskan seteru utamanya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, yang merupakan pemain nombor satu dunia 21-17, 21-15, Liek Hou berkata beliau dibantu kelebihan pengalaman beraksi di kejohanan besar.

“Mungkin beliau kalah dengan saya kerana terlalu banyak tekanan di sukan-sukan besar macam ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Menteri sukan umum tiga agenda hadapi Paris 2024

SEPANG, 7 SEPT: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan tiga agenda yang bakal dilaksana dalam mempersiap kontinjen negara bagi menghadapi temasya Sukan Olimpik serta Paralimpik Paris 2024 dan seterusnya.

Beliau berkata pertama ialah penubuhan Jawatankuasa Penilaian dan Penambahbaikan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 untuk menilai secara keseluruhan pelaksanaan program Road to Tokyo yang bermula pada 4 Feb 2019.

Katanya jawatankuasa itu akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk M Noor Azman Taib dengan dianggotai wakil Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, Institut Sukan Negara, badan sukan serta semua pihak berkepentingan.

Ahmad Faizal berkata agenda kedua ialah memulakan Program Khas Olimpik dan Paralimpik daripada hasil dapatan Kajian Jawatankuasa Penambahbaikan Program Podium.

“Program ini akan menjadi program fokus atau graduasi kepada Program Podium sedia ada bagi membolehkan kita melihat tiga kitaran Olimpik dan Paralimpik akan datang iaitu Paris 2024, Los Angeles 2028 dan Brisbane 2032.

“Program ini akan menjadi antara hala tuju kita dalam Visi Sukan Negara 2030 berkaitan Kecemerlangan Sukan dan Pembangunan Bakat. Perkara ini akan kita kongsikan kemudian dengan lebih terperinci,” katanya pada sidang akhbar ketika menyambut kepulangan kelompok terakhir Kontinjen Malaysia dari Paralimpik Tokyo 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam.

Bagi agenda terakhir , beliau mahu melihat keterlibatan persatuan sukan yang lebih berkesan bagi mengukuhkan pengenalpastian bakat di setiap peringkat kejohanan.

“Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) untuk melihat perkara ini bagi membolehkan persatuan sukan dipersiap dari segenap sudut untuk memastikan atlet kita sentiasa bersedia,” katanya.

Ahmad Faizal turut memuji prestasi cemerlang kontinjen Paralimpik negara yang mencatatkan pencapaian terbaik dalam sejarah 16 kali penyertaan di temasya itu sejak edisi Heidelberg 1972 dengan boccia dan badminton menjadi sukan baharu menghadiahkan pingat selain olahraga dan powerlifting.

Beliau bagaimanapun menekankan bahawa kerja keras diperlukan dalam mencari bakat baharu untuk mengelakkan masalah pada edisi seterusnya memandangkan 72 peratus daripada 22 atlet yang mewakili negara di Paralimpik Tokyo sudah berumur lebih 25 tahun.

Kontinjen Malaysia berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan dua perak dari Tokyo sekali gus mengatasi pencapaian tiga emas dan sebutir gangsa di Rio 2016.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Kepulangan wira Paralimpik negara disambut meriah

SEPANG, 6 SEPT: Kepulangan kelompok terakhir Kontinjen Malaysia daripada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, disambut meriah dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, petang ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu antara yang hadir menyambut kepulangan kelompok terakhir atlet Malaysia itu.

Mereka yang menaiki pesawat Malaysia Airlines MH 0071 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Narita kira-kira 10.45 pagi tadi, dan mendarat di KLIA pada pukul 4.45 petang.

Dua pemenang pingat emas iaitu juara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual) Abdul Latif Romly dan juara badminton perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou antara yang pulang hari ini.

Kelompok atlet itu turut disertai Ketua Kontinjen (CDM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, ketua jurulatih olahraga para negara R.Jaganathan, atlet pecut acara 100m lelaki T36 Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, jurulatih badminton Datuk Rashid Sidek dan jurulatih lompat jauh Mohd Syahrul Amri Suhaimi.

Sejurus menyelesaikan urusan imigresen dan kastam serta menjalani ujian COVID-19, kesemua atlet, jurulatih dan pegawai yang keluar di balai ketibaan disambut dengan laungan ‘Demi Malaysia’ sambil mematuhi SOP ditetapkan.

Selepas meluangkan beberapa minit untuk sidang media ringkas, mereka mensanitasikan bagasi dan meneruskan perjalanan ke hotel untuk proses kuarantin wajib selama 14 hari.

Kejayaan membawa pulang tiga butir emas dan dua perak merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak menyertai edisi pertama temasya itu pada 1972 di Heidelberg, Jerman, yang sekali gus mengatasi pencapaian tiga emas dan satu gangsa di Rio 2016.

Selain Abdul Latif dan Liek Hou, badang negara Bonnie Bunyau Gustin meraih emas acara powerlifting bagi kategori 72kg, manakala dua pingat perak disumbangkan Jong Yee Khie (powerlifting 107kg) dan atlet boccia Chew Wei Lun bagi acara individu campuran BC1.

Bagaimanapun insiden ‘kehilangan’ emas Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 kerana kelewatan memasuki bilik menunggu, sedikit sebanyak mengganggu kejayaan cemerlang kontinjen negara pada temasya di Tokyo itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liek Hou catat sejarah pemain badminton pertama menang emas Paralimpik

TOKYO, 4 SEPT: Satu hari yang penuh bersejarah buat sukan badminton Malaysia.

Juara dunia enam kali, Cheah Liek Hou menjadi pemenang pingat emas badminton yang pertama Sukan Paralimpik, selepas beliau menewaskan musuh utamanya Anrimusthi Dheva dari Indonesia pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) hari ini.

Badminton buat pertama kalinya dipertandingkan pada Sukan Paralimpik di Tokyo.

Pemain nombor dua dunia itu menewaskan Dheva pemain pilihan pertama Paralimpik 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

Pada set pertama, kesilapan yang dilakukan pemain nombor satu dunia itu membolehkan Liek Hou mendahului 5-0, sebelum pemain indonesia itu mengejar hingga ke kedudukan 8-5.

Selepas mendahului dengan selesa 11-5 sebelum rehat antara perlawanan, Liek Hou tidak dapat menggunakan kelebihan enam mata yang beliau miliki sehingga membenarkan Dheva menyamakan kedudukan 15-15, sebelum pemain kebangsaan itu berjaya memperbaiki kedudukan dengan menghasilkan pukulan smash yang kuat bagi mendapatkan mata akhir dan menang set pertama, 21-17.

Set kedua memperlihatkan perlawanan sengit dengan kedua-dua pemain berkedudukan rapat sebelum Liek Hou berjaya mendahulu 11-10 sebelum rehat antara perlawanan.

Selepas itu Liek Hou tidak lagi menoleh kebelakang dan terus menunjukkan permainan yang terbaik bagi menyerap serangan Dheva sebelum memastikan pingat emas miliknya dengan memenangi set kedua, 21-15.

Sebaik memang, Liek Hou kemudiannya merebahkan dirinya di atas gelanggang untuk seketika dan kemudiannya menerpa ke arah jurulatihnya Datuk Rashid Sidek bagi meraikan kejayaan cemerlangnya di Paralimpik itu.

Kemenangan hari ini juga membolehkan Liek Hou mengekalkan rekodnya lima perlawanan tanpa kalah di Sukan Paralimpik, termasuk tiga kemenangan pada peringkat Kumpulan B.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Ziyad, anda tetap wira di hati rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 1 SEPT: Seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meskipun rayuan pingat emas yang dimenanginya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ditolak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitternya berkata beliau berharap Muhammad Ziyad meneruskan perjuangan dan tidak berputus asa selepas berjaya memecah rekod dunia dengan catatan 17.94 meter.

“Anda tetap wira di hati rakyat Malaysia, Ziyad! Persembahan yang cukup luar biasa yang memecahkan rekod dunia akan kekal terpahat di memori kami. Jangan putus asa, teruskan perjuangan. #DoaUntukZiyad #MAS,” tulisnya.

Jawatankuasa Rayuan Olahraga Para Dunia menolak rayuan Muhammad Ziyad untuk membatalkan keputusan akhir lontar peluru F20 pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan atlet negara terlepas pingat emas acara berkenaan dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya berkenaan berakhir.

Perkara itu diumumkan Olahraga Para Dunia dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Semalam, kemenangan Muhammad Ziyad dibantah oleh kem Ukraine selepas dikatakan lewat memasuki bilik panggilan sebelum pertandingan bermula.

Nasib sama menimpa atlet dari Australia, Todd Hodgetts dan Jordi Patricio dari Ecuador.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap tahniah kejayaan Bonnie sumbang emas pertama

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet angkat berat paralimpik negara Bonnie Bunyau Gustin yang menghadiahkan pingat emas pertama buat Malaysia pada Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan anak kelahiran Sarawak itu, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Kejayaan Bonnie merupakan kejayaan yang amat bermakna kepada kontinjen Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada rakan-rakan atlet untuk meneruskan buruan pingat di kejohanan terbesar sukan paralimpik,” menurut catatan itu.

Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian cemerlang Bonnie sekali lagi membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Menurut catatan itu, kejayaan itu juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar kejayaan dan semangat perjuangan Bonnie turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.

Kenyataan itu turut memaklumkan Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Bonnie dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama di kejohanan mendatang.

Bonnie, 22, merangkul pingat emas dengan angkatan seberat 228 kg menewaskan atlet dari Mesir, Mahmoud Attia (191 kg) dan atlet dari Great Britain, Micky Yule (182 kg).

Lebih mengagumkan, beliau turut memecahkan rekod Sukan Paralimpik yang dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Jaguh angkat berat negara raih emas pertama, pecah rekod Paralimpik

TOKYO, 28 OGOS: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin melakukan angkatan menakjubkan apabila menghadiahkan emas pertama buat negara pada hari keempat Sukan Paralimpik pada Sabtu.

Lebih mengagumkan, atlet kelahiran Serian, Sarawak itu turut memecahkan rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq pada Rio 2016 iaitu 227 kg, dengan angkatan 228 kg dalam percubaan ketiganya pada hari pertama sukan berkenaan berlangsung.

Bagaimanapun, Bonnie tidak berjaya memecah rekod dunianya sendiri iaitu 230 kg yang dilakukan pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas apabila gagal melakukan angkatan seberat 231 kg dalam percubaan keempatnya.

Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia manakala gangsa milik atlet Great Britan, Micky Yule.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB doakan kejayaan atlet paralimpik di Tokyo

SHAH ALAM, 23 OGOS: Dato’ Menteri Besar mendoakan kejayaan buat atlet istimewa negara yang bakal beraksi di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Selamat berjaya kepada kontinjen paralimpik kebangsaan yang akan mengambil bahagian di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bermula esok.

“Doa kami bersama anda. Bersama menempah kejayaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Seramai 22 atlet termasuk empat atlet wanita akan menggalas cabaran negara dalam sembilan jenis sukan pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 mulai esok sehingga 5 September ini.

Berdasarkan rekod, Malaysia mengambil bahagian pada sukan tersebut sejak 1972 dan telah mengumpul 11 pingat iaitu tiga emas, dua perak dan enam gangsa.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Muhammad Hafiz yakin cemerlang walau kali pertama ke Paralimpik

SHAH ALAM, 14 OGOS: Atlet berbasikal para negara Muhammad Hafiz Jamali berasa yakin akan beraksi cemerlang walaupun kali pertama menyertai Sukan Paralimpik.

Atlet kelahiran Selangor itu berkata biarpun mengakui berdepan tekanan namun dengan persiapan dilakukan, beliau mampu mengawal emosi dan bersedia ke kejohanan berlangsung di Tokyo hujung bulan ini.

“Kita dapatkan nasihat jurulatih, ada juga penasihat psikologi malah turut belajar (pengalaman) dengan kawan yang pernah pergi paralimpik sebelum ini.

“Sekarang kita di minggu akhir latihan. Segala peralatan, teknik, kaedah termasuk penggunaan simulator akan digunakan sepenuhnya,” katanya pada majlis perjumpaan dan sembang santai secara maya hari ini bersama EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohd Nizam Marjugi.

Terdahulu Mohd Khairuddin mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Muhammad Hafiz dan jaguh olahraga para Mohd Ziyad Zolkefli yang mewakili negara di Paralimpik Tokyo 2020 bermula 24 Ogos hingga 5 September.

Muhammad Hafiz berkata beliau menjadikan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebagai inspirasi dan pembakar semangat dalam acara ditandingi untuk meraih pingat.

“Ada juga jumpa dia (Azizul) masa berlatih di sini (Malaysia). Dapat jumpa sekejap-sekejap sebab masing-masing kuarantin. Ada bertegur dan cakap pasal persiapan,” katanya.

Pada perlumbaan final acara keirin Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Velodrom Izu Tokyo Ahad lalu, Azizulhasni atau Jijoe yang berasal dari Dungun, Terengganu menghadiahkan pingat perak buat negara selepas menduduki tempat kedua.

Pada Olimpik Rio 2016 pelumba berusia 33 tahun yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu meraih gangsa.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pelumba basikal trek Muhammad Fadhil, atlet pertama terima vaksin

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Atlet berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis mengetuai senarai 264 atlet dan pegawai menerima dos pertama suntikan vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bermula hari ini.

Beliau diikuti oleh rakan sepasukannya Anis Amira Rosidi sebagai atlet wanita pertama, manakala atlet memanah para S Suresh menjadi atlet para pertama menerima suntikan vaksin itu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Kompleks Sukan Desa Tasik, Cheras.

Ia adalah sebagai persediaan kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik, melibatkan para atlet dan pegawai yang sudah dan sedang berusaha untuk layak ke Tokyo.

Kesemua atlet dalam senarai itu akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech.

Turut akan menerima suntikan hari ini ialah Menteri Belia dan Sukan Datuk Reezal Merican Naina Merican, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Temasya Sukan Olimpik akan berlangsung bermula 23 Julai hingga 8 Ogos, manakala Paralimpik dijadualkan bermula 24 Ogos hingga 5 Sept depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

10 atlet para negara layak ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan seramai 10 atlet para negara sudah melayakkan diri ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Ia melibatkan sukan renang, memanah, olahraga, boccia dan powerlifting.

Pengarah Bahagian Paralimpik MSN Mohd Sofian Hamzah berkata sasaran sebenar jumlah atlet untuk dihantar ke Tokyo adalah seramai 31 orang dan pihaknya masih dalam proses pemantauan dan penilaian sebelum membuat sebarang ketetapan.

“Kami masih memantau perkembangan mereka (atlet) sebelum mengumumkan senarai penuh kerana ada yang mengalami kecederaan dan ada masih belum mencapai tahap prestasi terbaik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tajaan kasut Bata kepada Kontinjen Sukan Paralimpik negara ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, Pengurus Pemasaran Bata Malaysia Diana Wong dan Konsultan Bata Malaysia Datuk James Selvaraj.

Sepuluh atlet Para yang sudah mengesahkan slot ke Tokyo 2020 adalah Muhd Nursaiful Zulfikri dan Brenda Anelia (renang); S Suresh dan Wiro Julin (memanah); Muhammad Ziyad Zolkefli, Wong Kar Gee, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi, Abdul Latif Romli (olahraga); Chew Wei Lun (boccia) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).

Sebelum ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Jawatankuasa Penganjur Tokyo 2020 dan Kerajaan Jepun bersetuju untuk meminda tarikh penganjuran Sukan Paralimpik 2020 yang sepatutnya berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 September 2020 kepada 24 Ogos hingga 5 September 2021 susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Megat D Shariman berkata cadangan untuk membina sebuah sekolah sukan khas untuk atlet para di negara ini sedang dibincangkan bersama Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan MSN.

-BERNAMA