Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PVATM Selangor terima geran RM100,000

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 4 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan pemberian geran RM100,000 yang akan disalurkan kepada Tabung Pahlawan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Selangor.

Beliau berkata, pemberian itu khusus untuk 2016 selain bakal mempertimbangkan jumlah geran bersesuaian buat PVATM bermula tahun hadapan.

“Ada permintaan daripada PVATM supaya disalurkan geran secara tetap melalui Tabung Pahlawan dan saya kira permintaan ini mempunyai asas kuat kerana salah satu teras persatuan adalah menjaga kebajikan ahli.

“Kita akan mempertimbangkan pemberian geran tetap dan saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Perbendaharaan Negeri dan pasukan Belanjawan 2017.

“Namun, secara prinsipnya saya bersetuju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan PVATM ke-64 di Kelab Shah Alam, hari ini.

Katanya, pemberian geran itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pasukan ATM menjaga keamanan, keselamatan juga kedaulatan Malaysia selama ini selain akan meminta anak syarikat Kerajaan Selangor (GLC) menderma kepada Tabung Pahlawan.

IMG_2744Menyentuh perihal kuota Rumah Selangorku untuk pesara ATM, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri sebelum ini sudah menetapkan kuota 10 peratus milikan kepada kumpulan sasar yang antaranya terdiri daripada pesara tentera, polis dan orang kelainan upaya (OKU).

Mohamed Azmin sebelum itu merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan ke-64 PVATM sambil diiringi Yang Dipertua, Mohd Din Husnin dan Presiden PVATM Negara, Senator Laksamana Tan Sri Dato’ Setia Mohd Anwar Mohd Nor (B).

Beliau turut menerima penyerahan mork cek sumbangan daripada penderma Kempen Tabung Pahlawan bernilai Rm116,000 selain menyampakan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) kepada 10 ahli PVATM.
-AA-