Categories
NASIONAL

Wan Azizah akui terkejut Mahathir hadir

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui sedikit terkejut dengan kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pada prosiding Mahkamah Kuala Lumpur yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, Anwar dan Mahathir berbincang beberapa perkara mengenai permohonan penangguhan sementara pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 yang dikemukakan Ketua Umum KEADILAN.

“Sedikit mengejutkan hari ini dengan kehadiran Tun yang memberikan sokongan.

“Dia cakap harap awak (Anwar) baik dan semoga berjaya,” katanya di luar perkarangan mahkamah.

Ditanya lanjut mengenai isu lain yang dibualkan dua tokoh politik negara itu, Wan Azizah menegaskan hanya membabitkan isu Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Dr Mahathir yang ditemui media sebelum itu menjelaskan beliau hadir kerana berminat dengan kes ini memandangkan ia berkaitan dengan keselamatan negara.

“Saya berminat dengan kes ini kerana ia membabitkan keselamatan negara dan sudah ditulis di dalam blog saya,” katanya.

-nR-