Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Pemimpin tergelincir demi kuasa patut jadi pengajaran

AMPANG, 26 JULAI: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pemimpin Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengambil iktibar sikap segelintir bekas pemimpin tergelincir daripada asas perjuangan selepas memegang tampuk pemerintahan.

Anwar juga mengingatkan pemimpin KEADILAN agar tidak lupa diri sekiranya rakyat memberi kepercayaan sekali lagi untuk mentadbir negara.

“Dalam perjuangan ramai lulus ujian saat diuji dengan kesusahan atau penderitaan tetapi ramai gagal apabila diuji dengan kesenangan.

“Apabila memegang tampuk kekuasaan, kecuaian dan kelalaian berlaku malah perjuangan mula tergelincir dari landasan dan sebaik tergelincir, kita bukan lagi dalam agenda KEADILAN dan orang seperti ini silakan keluar,” katanya berucap pada Konvensyen Penerangan KEADILAN di Hotel De Palma, hari ini.

Tegas Presiden KEADILAN, perjuangan KEADILAN bukan untuk memberi kekayaan kepada kroni atau kaum keluarga sebaliknya berpaksikan keadilan.

“Kita tidak boleh bicara soal ekonomi tanpa keadilan, kita tidak boleh bicara keadilan kalau kayakan kaum keluarga dan jika ini berlaku, maknanya kita tidak istiqamah dalam perjuangan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar ucap tahniah kepada Agong

SHAH ALAM, 8 JUN: Presiden KEADILAN merakamkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Keputeraan Rasmi baginda hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan terus memberikan ketaatan serta kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada institusi raja berperlembagaan bersama rakyat.

“Patik bagi pihak Pakatan Harapan dan KEADILAN mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Kebawah Duli Tuanku dan Raja Permaisuri Agong serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.

“Semoga baginda kekal qarar memerintah dengan adil dan saksama serta terus berada pada kedudukan paling tinggi dalam Perlembagaan negara, seiring fungsi institusi diraja sebagai pelindung agama Islam dan menjadi lambang perpaduan dan kesejahteraan semua kaum di negara Malaysia yang tercinta,” tulisnya menerusi Facebook, hari ini.

Sebelum ini kerajaan bersetuju untuk meminda Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah daripada 6 Jun kepada 8 Jun.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, kerajaan juga bersetuju Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah adalah pada hari Isnin pertama bulan Jun setiap tahun mulai 2021.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Perketat undang-undang tangani kes pemandu mabuk

SHAH ALAM, 5 MEI: Presiden Keadilan menggesa kerajaan meminda undang-undang agar hukuman lebih berat dikenakan ke atas individu yang memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia perlu dipandang serius supaya kematian Koperal Safwan Muhammad ketika bertugas membuat sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) pada 3 Mei lalu tidak berulang.

“Undang-undang perlu diketatkan, kita harus tegas terhadap pemandu mabuk dan cuai ketika memandu. Sebab itu pentingnya Parlimen bersidang.

“Menteri pengangkutan harus fikir untuk meminda undang-undang dan laksanakan hukuman berat terhadap pemandu mabuk dan mereka yang cuai ketika memandu,” katanya ketika bersiaran langsung di Facebooknya hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata tidak mempunyai sebab untuk pemandu memandu dalam keadaan mabuk sebaliknya mereka boleh menggunakan perkhidmatan e-panggilan.

“Tiada sebab untuk seseorang memandu dalam keadaan mabuk kerana kita sudah ada e-panggilan yang mempunyai 120,000 pemandu. Mereka sepatutnya menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saya tidak pernah usul cadangan sertai Kabinet – Anwar

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mengusulkan cadangan menjadi sebahagian daripada anggota jemaah Kabinet Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meskipun dijangka wujud rombakan kecil dalam portfolio menteri nanti.

Katanya, beliau sedia menunggu sehingga gilirannya tiba bagi menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Saya terikat dengan konsensus dan saya tidak pernah mengusulkan atau bercadang untuk menyertai kabinet kerana persefahaman dan konsensus dalam PAKATAN (Pakatan Harapan) yang ditandatangani adalah PM (Tun Dr Mahathir Mohamad) akan menjadi perdana menteri dan Wan Azizah adalah timbalannya sehinggalah giliran saya mengambil alih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di bangunan Parlimen, hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mahathir semalam bahawa tidak ada kekosongan untuk Anwar menyertai kabinet buat masa ini.

Sementara itu, ditanya sama ada KEADILAN akan mengikut jejak langkah pendirian sekutunya, BERSATU yang mengambil tindakan terhadap sesiapa yang mencemarkan parti itu dengan ramalan mengatakan bahawa PAKATAN akan kalah dalam pilihan raya (akan datang), Anwar menjelaskan tiada tindakan diambil partinya.

Ini berikutan katanya, KEADILAN adalah parti demokratik dalam melontarkan pandangan.

“Dalam KEADILAN, kita bagi ruang lebih demokratik dalam memberi pandangan. Jadi, tidak ada tindakan untuk pemimpin PKR yang berbuat demikian,” katanya bahawa pihaknya akan meneliti pandangan yang dikemukakan rakan sekutunya itu.

Mengulas pertanyaan mengenai status surat yang dihantar Zuraida Kamaruddin bagi meminta Anwar mengadakan perbincangan dalaman membabitkan isu KEADILAN pula, beliau menjelaskan pihaknya sudah membalas satu daripada tiga surat yang dikirimkan naib presiden parti berkenaan.

Katanya bagi dua lagi surat, ia akan dibalas oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar juga mengingatkan Zuraida agar hadir dalam setiap mesyuarat yang diadakan parti itu dan ia boleh dijadikan tempat untuk membincangkan isu berbangkit.

“Kita ada forum, kita ada mesyuarat biro politik setiap minggu dan mesyuarat MPP setiap bulan. Sila hadir,” katanya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bahawa hanya takdir menentukan Anwar akan jadi perdana menteri atau tidak, beliau menjawab: “Hidup, mati… semua bergantung pada takdir. Menteri, bukan menteri, jodoh, semua pada takdir. Jadi saya percaya pada takdir.” katanya secara bersahaja.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tun M: Tiada kekosongan dalam kabinet buat masa ini

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamed membayangkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi anggota Kabinet dalam perubahan kecil portfolio jemaah menteri kerana tiada kekosongan buat masa ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita yang bertanyakan sama ada beliau akan membawa masuk Anwar ke Kabinet.

“Kami tidak bincang perubahan atau pertambahan anggota Kabinet, malah tiada juga perbincangan mengenai pertukaran portfolio anggota Kabinet,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), di sini, hari ini.

“Oleh kerana tiada siapa membayangkan mahu meletakkan jawatan (menteri), kita tidak ada kekosongan. Apabila ada kekosongan, kita akan cari calon yang sesuai,” katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Minggu lalu, Dr Mahathir menafikan laporan bahawa akan berlaku rombakan Kabinet melibatkan pengguguran jawatan menteri tetapi sebaliknya berkata beberapa perubahan portfolio akan dilakukan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rakyat berhak dapat penjelasan tentang ‘kartel dedak’ – Anwar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 15 MEI: Pimpinan PAS perlu menjawab dan memberi penjelasan berhubung dakwaan kewujudan ‘kartel dedak’ dalam parti berkenaan, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan terperinci memandangkan ‘kartel dedak’ menjadi isu yang membabitkan kepentingan orang awam.

Katanya, terdapat keperluan pimpinan parti terbabit menjawab isu itu tanpa berselindung menerusi arahan melarang ahli parti PAS membahaskannya secara terbuka.

“Isu ‘kartel dedak’ ini sebenarnya urusan dalaman parti dan sudah tentu menjadi hak pimpinan PAS bagi menentukan arahan melarang ahlinya untuk tidak membahaskannya.

“Tetapi, isu ini membabitkan kepentingan awam dan oleh sebab itu masyarakat ingin tahu kerana membabitkan dana yang bertentangan dengan apa yang diucapkan pimpinan PAS iaitu seorang tokoh tidak patut ambil duit daripada sumber dicurigai selain hidup dalam kesederhanaan.

“Ada keperluan supaya tuduhan keras yang dilemparkan itu perlu dijawab pihak berkenaan bagi memastikan orang ramai tahu apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Belia Kebangsaan, di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar diminta mengulas tindakan PAS mewartakan perintah larangan terhadap ahlinya supaya tidak membawa, membincang dan membahaskan sebarang isu membabitkan urusan parti dalam semua bentuk media, berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa perintah itu mengingatkan ahlinya bahawa sebarang pandangan, pendapat, cadangan atau kritikan perlu disuarakan melalui saluran parti di pelbagai peringkat.

Perintah itu juga susulan pendedahan bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad, berhubung lima pemimpin dalam PAS yang terbabit dengan ‘kartel dedak’ dan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Zaharuddin turut mendakwa mendedahkan isu kartel dedak selepas mendapat restu Abdul Hadi, namun Presiden PAS itu menafikan mengizinkan menantunya berbuat demikian.

Categories
NASIONAL

1MDB: Semua pemimpin dunia bertanya

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LANGAT, 29 APRIL: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pemimpin seluruh dunia bertanya berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), ketika lawatan beliau ke beberapa negara, sebelum ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, seluruh dunia mengetahui masalah Malaysia iaitu memiliki pemimpin yang merompak harta rakyat.

“Beberapa bulan lalu, saya ke India, China, Turki, Qatar, Amerika dan England, semua tanya berkenaan 1MDB.

“Saya pergi ke Amerika, Bank of America tanya, saya pergi ke Turki Tayyip Erdogan tanya, saya pergi ke Qatar Raja Qatar, jumpa Narendra Modi di India, semua tanya bagaimana boleh terjadi.

“Macam mana satu negara boleh biarkan pemimpin rompak guna kekayaan beli ratusan beg, belanja ratus juta ringgit untuk peribadi, nak judi di Amerika, nak beli kapal terbang, nak beli kapal semua guna duit kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika berucap pada Majlis Makan Amal KEADILAN Cabang Kuala Langat, di Dewan Gan Yan Sin, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih menghairankan di Malaysia apabila bekas pemimpin yang terpalit dengan skandal masih mendapat sokongan daripada UMNO dan PAS.

“Satu dunia sudah tahu skandal terbabit, tapi di Malaysia masih lagi disokong, bukan sahaja UMNO termasuk PAS, Allahuakbar,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ahli KEADILAN perlu beri sokongan padu kepada Tun M

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

KUALA LANGAT, 29 APRIL: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh ahli parti itu supaya memberi sokongan padu kepada kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, rakyat Malaysia beruntung kerana perubahan kerajaan yang berlaku tahun lalu digantikan oleh pemimpin berpengalaman.

Katanya, kebanyakan negara di seluruh dunia pada fasa transisi mengalami kegagalan kerana rakyat memberi harapan tinggi kepada kerajaan baharu.

“Kita beruntung kerana orang yang menggantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri adalah orang yang mempunyai pengalaman, iaitu Tun Dr Mahathir.

“Dia tahu cara menjaga bahtera kapal yang sedang dalam gelombang baharu ini dan sehingga kini masih dapat dikawalnya.

“Jadi, dalam KEADILAN kita perlu bagi sokongan kepada kerajaan yang ada sekarang dan kita juga mahu parti kita kuat,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Amal KEADILAN Cabang Kuala Langat, di Dewan Gan Yan Sin, di sini malam tadi.

Pada masa sama, Anwar berkta, lebih mudah jika beliau mengambil alih tugas sebagai perdana menteri ketika keadaan sudah stabil.

“Bagi saya, saya sokong supaya kapal itu agak ‘steady’ dan ‘okay’. ‘Steady’, saya ambil alih. Dalam keadaan ‘steady’ nantikan lebih mudah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Anwar: Dakwa Najib tak semudah dakwa saya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

JENJAROM, 29 APRIL: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat, pendakwaan terhadap pertuduhan pecah amanah dan salah guna kedudukan oleh mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak semudah dilaluinya, suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, mahkamah perlu bertindak adil dalam menguruskan pendakwaan terbabit berpandukan undang-undang, selain proses dan fakta yang betul.

“Ini bukan kes dakwa saya dulu, sekejap sahaja. Tapi, kita janji tangkap orang yang rasuah dan undang-undang mahkamah mesti adil, tidak boleh kuasai dan arah hakim. Sebab itu kena ikut proses.

“Bila kita nak laksanakan susah, inilah yang kita lakukan. Sekali lagi, kita kena tanya, adakah kita ada pilihan? Kita tak boleh ambil jalan singkat. Agak bersalah tangkap masuk penjara. Itu dulu sistem Umno yang kita tolak. Sebab itu ia tidak mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Amal KEADILAN Cabang Kuala Langat, di Dewan Gan Yan Sin, di sini malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden KEADILAN merangkap Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar; Setiausaha Politik Kepada Dato’ Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Negeri Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah dan Anggota Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Hee Loy Sian.

Anwar mengulas perkara terbabit susulan timbul persoalan daripada rakyat mengapa Najib belum ditangkap walaupun sudah banyak laporan membongkarkan skandalnya.

Pada masa sama, Anwar turut menggesa rakyat supaya bijak membuat sebarang keputusan memandangkan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) sedang bekerja keras untuk menyelesaikan konflik itu.

Katanya, seluruh dunia juga tahu masalah dihadapi negara ketika ini ekoran tindakan ‘merompak’ dilakukan pemimpin terdahulu.

Ketika menyentuh berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Anwar berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Inc, David Solomon memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana peranan bekas pegawai bank itu yang terbabit dalam skandal berkenaan.

“Dia minta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia sebab terlibat dengan penipuan ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Agenda reformasi kejayaan terbesar Pakatan – Anwar

SEREMBAN, 5 APR: Agenda reformasi masih diteruskan kerajaan Pakatan Harapan (Pakatan) dan ia merupakan kejayaan terbesar gabungan parti itu setakat ini, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, agenda reformasi itu meliputi menolak pelaku salahguna kuasa, rasuah dan menipu rakyat serta mengheret mereka yang merompak dana kewangan negara ke mahkamah.

“Jadi keadaan sudah berubah…bezanya kita bukan fitnah, hasut atau dendam tetapi kita siapkan keterangan dan fakta supaya orang yang bertanggungjawab merompak khazanah negara harus dihukum dan ganti balik duit rakyat.

“Ini tak ada tolak ansur. Kalau dulu ramai yang diheret sama ada di mahkamah dipukul atau ditelanjangkan termasuk saya, (Timbalan Presiden KEADILAN Mohamed) Azmin (Ali) dan (Veteran DAP Lim) Kit Siang. Ini harus dihentikan.Walau dia tokoh UMNO, MIC, MCA kita tak ada niat sama sekali nak beri tekanan melainkan mereka yang melakukan jenayah dan rasuah kita hadapkan ke mahkamah,” katanya.

SEREMBAN, 4 April — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memotong kek pada sambutan Ulang Tahun Dua Dekad Merakyatkan Reformasi di Pekan Rantau pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau malam ini.
Turut kelihatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua, kanan).
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA.

Beliau berkata demikian dalam Amanat Khas sempena sambutan ulang tahun ke-20 KEADILAN di Dataran Rantau di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta barisan pimpinan KEADILAN.

KEADILAN dilahirkan daripada gelombang reformasi yang melanda negara selepas pemecatan Anwar daripada UMNO pada 2 September 1998.

Ia secara rasmi ditubuhkan pada 4 April 1999 selepas diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan menggunakan nama Parti Keadilan Nasional.

Keadilan menyertai pilihan raya pertamanya pada usia parti itu tujuh bulan pada 1999 dan selepas itu parti berkenaan mula bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia membentuk KEADILAN pada 3 Ogos 2003, dengan Dr Wan Azizah sebagai presiden pertama.

KEADILAN pernah menganggotai beberapa gabungan antaranya Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

PRK Rantau: Akui cabaran besar, namun tetap positif

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 11 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) yakin memiliki peluang merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang dimenangi tanpa bertanding oleh Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum lalu.

Bagaimanapun Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan PAKATAN akan berhadapan perlawanan sengit daripada penyandang kerusi terbabit, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau ini penting kerana kita berhadapan dengan pemangku Presiden Umno yang sudah tentu bukan suatu yang mudah.

“Selain itu, beliau juga merupakan menteri besar selama tiga penggal,” katanya pada sidang media pengumuman calon PAKATAN di Ibu Pejabat KEADILAN di sini, hari ini.

Beliau turut menjangkakan PAKATAN bakal berdepan kempen berbaur perkauman yang dimainkan BN.

Ketika mengulas persediaan PRK terbabit, Anwar berkata, PAKATAN bersetuju melantik Pengerusi PAKATAN Negeri Sembilan merangkap Menteri Besar, Aminuddin Harun, sebagai Pengarah Pilihan Raya bagi PRK kali ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Mohamad menang tanpa bertanding selepas calon PAKATAN, Dr Steram Sinnasamy tidak dibenarkan memasuki dewan pencalonan kerana tidak membawa pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, pada 18 Febuari lalu, Mahkamah Persekutuan membatalkan kemenangan Mohamad, sekali gus menyebabkan SPR mengumumkan PRK akan diadakan di kerusi itu.

Categories
NASIONAL

Teruskan program ekonomi demi manfaat rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) perlu peka terhadap penderitaan rakyat dengan menjana program ekonomi bagi menjamin keselesaan mereka tanpa mengira latar belakang kaum mahupun agama.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sekali gus akan dapat menangani kerjasama Umno dan PAS serta kenyataan bersifat perkauman yang menjadi trend perkembangan politik masa kini.

“Keutamaan negara menjana pertumbuhan ekonomi, justeru sebarang usaha mengkhianati amanah atau persefahaman bersama berkenaan dasar dan kepimpinan akan dibantah keras.

“Justeru, PAKATAN perlu utuh dan pemimpin perlu peka terhadap rakyat dan program ekonomi diteruskan bagi menjamin keselesaan rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Anwar berkata, kekalahan PAKATAN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih dilakukan secara gopoh sedangkan sokongan orang Melayu tidak banyak berubah.

Pada PRK itu, calon Barisan Nasional, Zakaria Hanafi meraih 19,780 undi.

Zakaria mendapat majoriti 1,914 undi bagi menewaskan calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 undi dan calon Bebas iaitu Kuan Chee Heng (725 undi) serta Nik Aziz Afiq Abdul dari Parti Sosialis Malaysia (847 undi).