Categories
SELANGOR

WHB sumbang RM50,000 kepada PPAS

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 29 SEPT: Worldwide Holdings Berhad (WHB) menyumbangkan sebanyak RM50,000 kepada Perpustakaan Raja Tun Uda (PPAS) sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) di bawah kempen Worldwide Prihatin bertempat di SACC Convention Centre, Shah Alam, baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat, Ami Nordin Ishak berkata, sumbangan itu bertujuan untuk pembelian buku pendidikan bagi kegunaan masyarakat khususnya pelajar di perpustakaan awam tersebut.

Katanya, sebagai syarikat konglomerat prihatin, WHB mengambil langkah lebih proaktif memberi penekanan kepada pembangunan sukan, program hijau alam sekitar, memperkasakan pendidikan dan sosial.

“Kita telah melaksanakan pelbagai CSR sejak awal penubuhan antaranya sumbangan peralatan komputer untuk pusat ICT di sekolah agama, menjadi perintis kepada program memperkasakan sistem pendidikan sekolah rendah agama di Kemboja dan pembinaan masjid.

“Selain itu, kita juga melaksanakan pembelian mesin dialisis, mencetak Al-Quran Braille untuk golongan cacat penglihatan, membantu saudara islam ditindas di Gaza, Syria, Pakistan serta pembangunan sukan golf bagi tujuan mengutip sumbangan dan dana bagi Yayasan Raja Muda Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir dalam program itu, Pengerusi WHB, Datuk Nordin Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Faizal Tahir, Ikon Kemanusiaan MyCare dan Personaliti TV Al-Hijrah Syafinaz Yunus.

-nR-