Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Zika: Jangan panik, ambil langkah pencegahan setiap hari

Klang, 5 SEPT: Penduduk sekitar Klang khususnya di Ambang Botanic disaran mengambil langkah pencegahan dan tidak panik ekoran kes virus Zika pertama yang dilaporkan, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafie berkata, penduduk disaran memberi tumpuan pembersihan di kawasan persekitaran rumah setiap hari dalam tempoh satu hingga dua bulan.

“Penduduk tidak perlu panik kerana kes yang berlaku di kawasan ini datang daripada luar dan kita harap keadaan akan pulih dengan kawalan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diri-sendiri.

Shuhaimi 1“Penduduk juga perlu tingkatkan kebersihan di sekeliling rumah kerana kerana kalau pesakit digigit nyamuk aedes ia boleh merebak dan mungkin lebih ramai dijangkiti,” katanya ketika sidang media selepas Program Gotong-Royong Kebersihan Ad-Hoc, di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Penduduk Ambang Botanic, Alex Lum berkata, penduduk kembali tenang selepas kerjasama daripada Kerajaan Negeri dan PBT dalam mengambil tindakan segera memastikan kawasan itu selamat daripada acaman virus Zika.

“Sebelum ini, penduduk agak panik jika virus terus merebak kepada ahli keluarga masing-masing kerana ia berlaku di kawasan ini.

“Namun, selepas Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Awli bersama Pegawai Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) hadir memberi penerangan dan menjalankan operasi kawalan, mereka rasa sedikit lega,” katanya.

Katanya, Persatuan Penduduk sekitar Ambang Botanic juga akan mengadakan satu perbincangan bersama presiden persatuan bagi melaksanakan program gotong-royong dan edaran risalah kesedaran secara besar-besaran kepada lebih 4000 penduduk di situ.

-NFN-