Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

72% puas hati bukti rakyat buat pilihan tepat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kajian 72 peratus responden Selangor yang berpuas hati terhadap prestasi keseluruhan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri membuktikan pemilihan tepat rakyat ke atas Kerajaan Negeri, sejak 2008.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, kejayaan itu tidak datang bergolek, malahan ia hasil perancangan strategik dalam menyediakan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Sokongan ini bukan datang begitu sahaja. Ia adalah hasil perancangan strategik bagi membaiki khidmat sistem penyampaian kepada rakyat yang berurusan dengan pihak Kerajaan juga PBT,” katanya kepada SelangorKini.

shuhaimiPada masa sama, Shuhaimi menggesa supaya hasil kepuasan kajian itu dijadikan inspirasi kepada semua pihak untuk bekerja dengan lebih baik.

“Keupayaan mencapai kepuasan 72 peratus ini masih boleh dibaiki pada masa akan datang dengan meningkatkan tumpuan dan fokus pada sektor lain yang dekat dengan keperluan rakyat.

“Walaupun kajian kepuasan itu memberangsangkan, kita akan terus berusaha lagi supaya tapak sokongan ini kekal dan terus meningkat,” katanya.

Terdahulu, kajian Merdeka Centre yang bermula 23 Januari hingga 29 Jun lalu mendapati 72 peratus atau 8,640 responden yang mewakili penduduk Selangor menyatakan kepuasan mereka terhadap prestasi keseluruhan Kerajaan Negeri dan PBT.

Minggu lalu, dalam sidang media, Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, hasil kajian itu meningkat pada tahun ini berbanding 2015 iaitu 67 peratus.

Pada masa sama, Hian Wah berkata, kajian itu juga mencatatkan kadar kepuasan 74 peratus dengan prestasi semua 12 majlis tempatan di Selangor berbanding kadar 63 peratus, pada tahun 2015.

Kaji selidik itu meninjau 1,000 penduduk dari 11 PBT dan 1,001 penduduk dari Majlis Perbandaran Subang Jaya, namun tiada kaji selidik dijalankan, tahun lalu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Zika: Jangan panik, ambil langkah pencegahan setiap hari

Klang, 5 SEPT: Penduduk sekitar Klang khususnya di Ambang Botanic disaran mengambil langkah pencegahan dan tidak panik ekoran kes virus Zika pertama yang dilaporkan, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri Sri Muda, Shuhaimi Shafie berkata, penduduk disaran memberi tumpuan pembersihan di kawasan persekitaran rumah setiap hari dalam tempoh satu hingga dua bulan.

“Penduduk tidak perlu panik kerana kes yang berlaku di kawasan ini datang daripada luar dan kita harap keadaan akan pulih dengan kawalan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diri-sendiri.

Shuhaimi 1“Penduduk juga perlu tingkatkan kebersihan di sekeliling rumah kerana kerana kalau pesakit digigit nyamuk aedes ia boleh merebak dan mungkin lebih ramai dijangkiti,” katanya ketika sidang media selepas Program Gotong-Royong Kebersihan Ad-Hoc, di sini, semalam.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Penduduk Ambang Botanic, Alex Lum berkata, penduduk kembali tenang selepas kerjasama daripada Kerajaan Negeri dan PBT dalam mengambil tindakan segera memastikan kawasan itu selamat daripada acaman virus Zika.

“Sebelum ini, penduduk agak panik jika virus terus merebak kepada ahli keluarga masing-masing kerana ia berlaku di kawasan ini.

“Namun, selepas Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Awli bersama Pegawai Kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) hadir memberi penerangan dan menjalankan operasi kawalan, mereka rasa sedikit lega,” katanya.

Katanya, Persatuan Penduduk sekitar Ambang Botanic juga akan mengadakan satu perbincangan bersama presiden persatuan bagi melaksanakan program gotong-royong dan edaran risalah kesedaran secara besar-besaran kepada lebih 4000 penduduk di situ.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2016 pacu perkembangan positif ekonomi Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 OKT: Belanjawan 2016 dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, mampu memacu perkembangan positif terhadap ekonomi Selangor dengan unjuran tiga ke empat peratus pada tahun hadapan.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei, berkata pendekatan diambil adalah bagi menggalakkan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi di negeri itu melalui pelbagai strategi dirangka Kerajaan Selangor.

Belanjawan 2016 2“Persoalan ini pasti berlegar di fikiran rakyat kerana belanjawan tahun ini menjadi surplus.

“Biarpun membentangkan belanjawan defisit untuk tahun hadapan tetapi dengan menggalakkan pembangunan maka akan berlaku aktiviti ekonomi di Selangor seterusnya melonjakkan perkembangannya.

“Jika Kerajaan Negeri tidak mengambil pendekatan itu dengan membekukan semua atau sebahagian projek pembangunan maka ia melembabkan lagi ekonomi Selangor disebabkan swasta sendiri tidak berani membuat pelaburan besar pada 2016,” katanya kepada Selangor Kini di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

shuhaimi isu lompat partiAdun Sri Muda itu berkata, Kerajaan Negeri mencatatkan belanjawan terbesar sejak Pakatan mengambil alih pentadbiran negeri selain juga sejarah bagi sesebuah negeri di Malaysia dengan jumlah RM2.88 bilion.

Katanya, apa membezakan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan ialah biarpun kedua-dua mempunyai belanjawan defisit tetapi di Selangor pembahagian perbelanjaan adalah seimbang untuk mengurus dan pembangunan.

“Kerajaan Persekutuan perbelanjaan mengurus 82 peratus dan perbelanjaan pembangunan hanya 18 peratus.

“Belanjawan negeri adalah seimbang dan berharap ianya memberi manfaat kepada semua golongan kerana apa dibentangkan mengambil kira kepentingan semua pihak berpandukan adalah maklum balas rakyat ditemui,” katanya.

Ketua Penerangan PKR Selangor itu optimis trend sama akan berulang kepada belanjawan 2016 seperti mana berlaku dalam belanjawan tahun ini.

“Kita yakin sekurang-kurangnya bertukar dari defisit kepada seimbang,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lagi Pembangkang Selangor Dibidas Guna Fakta Salah Ketika Berdebat

Curi Pasir-Grafik

SHAH ALAM, 3 JULAI: Pembangkang di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini sekali lagi dibidas gara-gara sengaja menutup fakta berkenaan kelemahan pentadbiran Umno-BN yang dahulu.

Kali ini mengenai isu perlombongan pasir yang dikatakan mencemarkan alam sekitar.

Adun BN dari Dengkil, Shahrum Mohd Sharif  berterusan menuduh kegiatan perlombongan pasir di era pentadbiran Pakatan Rakyat yang beliau dakwa tidak terkawal.

Ini mendapat perhatian Adun Pakatan dari Sri Muda Shuhaimi Shafiei yang menempelak Shahrum dengan berkata kegiatan melombong secara tidak terkawal sudah berlaku dengan berleluasa di era pentadbiran BN sebelum 2008.

Shuhaimi juga berkata isu ini sudah pun beberapa kali dijelaskan dengan bukti baik di dalam dewan ini sendiri mahupun menerusi media.

“Lombong yang besar ini ditinggalkan oleh BN, kita cuma nak betulkan. Tak payah tunggu Menteri Besar jawab, saya boleh jawabkan.

“Pasir kita korek jauh lebih kecil berbanding BN, tetapi hasilkan pendapatan yang jauh lebih besar dari BN, ” kata Shuhaimi ketika mencelah ucapan Shahrum di dalam sidang DNS semalam.

Pakatan juga, selepas mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri, terpaksa membendung kegiatan yang memusnahkan alam sekitar ini dengan usaha bersungguh-sungguh Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) dan pihak berkuasa lain.

Perkara ini akhirnya turut diakui oleh Shahrum apabila beliau menyedari bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berjaya mengumpul hasil jutaan ringgit dari saman yang dikenakan terhadap pelombong haram.

Shuhaimi juga berkata hasil perlombongan pasir di Selangor hanya merupakan lima peratus dari pendaptan negeri dan bukanlah sumber utama pendapatan seperti yang didakwa Umno-BN.

Shahrum yang gagal menepis fakta yang dikemukakan Shuhaimi selepas itu mula berdalih dengan memberikan alasan sekadar untuk memberi pengetahuan kepada Adun-adun baru yang baru pertama kali menyertai persidangan.

Kelmarin, Ketua Pembangkang Datuk Shamsudin Lias dibidas kerana mengatakan Perlembagaan Negara dan undang-undang menghalang rakyat negara daripada melakukan protes terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) lalu.

Shamsudin didapati terkedu apabila beliau diminta oleh Adun Pakatan untuk menyatakan undang-undang mana yang menghalang rakyat untuk melakukan protes.