Categories
SELANGOR

Zika: Penduduk Petaling Jaya digesa bersih kediaman

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 SEPT: Penduduk di sekitar Petaling Jaya dinasihatkan untuk membersihkan kawasan rumah masing-masing bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes sekali gus membendung virus Zika.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi laman Facebook berkata, pihaknya mahu penduduk lebih prihatin terhadap kebersihan di kediaman sendiri bagi memastikan perkara itu dapat ditangani.

“Luangkan masa 10 minit. Bersihkan persekitaran dalam dan luar rumah anda.

“Kita mahu kerjasama ini diteruskan penduduk Petaling Jaya,” katanya.

Pada masa sama, Unit Kawalan Vektor, Jabatan Kesihatan MBPJ akan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah sekitar pentadbirannya dari masa ke masa.

Jika terdapat tempat pembiakan nyamuk, orang ramai boleh menghubungi bilik gerakan Unit Kawalan Vektor MBPJ di talian 03-79555473.

Dua hari lalu, kes pertama Zika di Malaysia membabitkan wanita mengandung berusia 27 tahun dikesan di Taman Desa Harmoni, Johor Bahru.

Manakala, sebelum ini, seorang wanita dari Bandar Botanik, Klang disahkan positif Zika.

-AA-