Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

500 pempamer ambil bahagian dalam Ekspo Antarabangsa Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 OKT: Lebih 500 pengusaha tempatan dan luar negara bakal mengambil bahagian dalam Ekspo Antarabangsa Selangor di The Mines, Seri Kembangan, pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, inisiatif terbabit dilaksanakan Kerajaan Selangor ke arah mempromosikan pelaburan negeri.

Katanya, ekspo itu juga dijadikan landasan untuk memperkenalkan Selangor sebagai hab pelaburan serantau terkemuka.

“Penganjuran kali kedua ekspo terbesar ini turut memberi peluang kepada pelabur dari luar melihat perkembangan positif prospek pelaburan negeri sebagai Hab Pelaburan serantau,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Hassan Azhari di Selangor Digital Creative Centre I-City, di sini.

Hadir sama, Pengarah Esekutif Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC), Yong Kai Ping.

teng01Tahun lalu, ekspo sama dianjurkan dengan memberi tumpuan kepada prospek makanan halal dan sains kehidupan, sementara fokus kali ini tertumpu kepada kerjasama keusahawanan rentas negara antara pengusaha tempatan dan luar.

Pada masa sama, Chang Khim berkata, pengajuran kali ini turut memberi peluang kepada 100 peniaga dan usahawan E-Dagang bagi mempromosikan produk mereka.

Menariknya, maklumat membabitkan peluang perniagaan atas talian daripada panel jemputan turut disampaikan kepada umum sepanjang karnival berlangsung.

Antara panelis terlibat adalah wakil dari Zalora, Giulio Xiloyannis; wakil Ebay, Mei Inn; wakil Lazada, Hans Peter dan wakil MOL Pay, Eng Sheng Guan.

“Komitmen ini dibuat atas dasar membantu usahawan tempatan melihat sendiri peluang memasarkan perniagaan di peringkat global,” kata Chang Khim.

-AA-