Categories
SELANGOR

Selangor tingkat peluang pelaburan rentas sempadan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 OKT : Peluang pelaburan rentas negara antara Selangor dan luar giat dilaksanakan bagi memacu pertumbuhan ekonomi mampan dan berdaya saing.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, tumpuannya terarah kepada gerak kerja organisasi dari dalam dan luar negara.

“Kita tertumpu kepada gerak kerja rentas sempadan termasuklah menjalankan kerjasama serantau bersama syarikat atas talian dan E-Dagang yang akan membantu usahawan tempatan untuk lebih berdaya saing di peringkat global.

“Sebagaimana tahun lalu, kerjasama ini berhasil memberikan pulangan positif dan untuk tahun ini penglibatan syarikat E-Dagang utama dari negara Asia Tenggara diyakini keberkesanannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Hassan Azhari di Selangor Digital Creative Centre I-City, di sini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) Yong Kai Ping.

teng01Bercakap lanjut Chang Khim berkata, jalinan kerjasama itu diperkukuh menerusi penganjuran Selangor International Expo di The Mines Seri Kembangan, 22 Oktober ini.

Dalam penganjuran itu, seramai 500 usahawan dan peniaga atas talian dari dalam dan luar negara bakal terlibat secara langsung untuk mempromosikan produk masing-masing.

Dijangka, pengusaha dan penggiat industri dari China, Indonesia, Taiwan, dan negara serantau lain turut terlibat dalam penganjuran karnival terbesar ini.

“Ini sekali gus membuka peluang kepada Selangor memperkenalkan produk tempatan misalnya ‘Durian King’ yang menjadi daya penarik pelabur dari luar,” katanya.

-nR-