Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Anwar ketika Menteri tak pernah ponteng berdepan perbahasan Ketua Pembangkang

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika masih menjawat Menteri Kewangan tidak pernah gagal hadir Dewan Rakyat bagi mendengar perbahasan Ketua Pembangkang setiap kali belanjawan tahunan dibentangkan beliau.

Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata namun sebaliknya berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Mengimbau kembali sejarah ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim mememegang jawatan Menteri Kewangan, tidak pernah sekalipun beliau tidak hadir ketika Ketua Pembangkang membahaskan bajet.

“Ini jelas menunjukkan ketokohan dan jiwa besar beliau yang bersifat terbuka untuk menerima kritikan dan teguran daripada pihak pembangkang,” kata Dr Wan Azizah ketika sesi perbahasan Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

wan-azizah-parlimenJelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, sudah menjadi amalan biasa dan lumrah bagi sebuah negara demokrasi di mana pihak pembangkang menjawab segala persoalan dibangkitkan oleh Menteri Kewangan.

Bagaimanapun katanya, keadaan begini juga amat penting dalam amalan demokrasi ekoran sesebuah negara memerlukan kerajaan dan pembangkang bagi mewujudkan semak dan imbang yang berkesan.

“Ini barulah kematangan dalam sistem demokrasi. Kami diselar kerana ‘keluar dewan’ tetapi hari ini apa yang amat ketara dan menjolok mata ialah YAB Pekan tidak hadir pun ke Dewan,” katanya lagi.

-nR-