Categories
NASIONAL

Azmin: Persekutuan langgar Akta 172, cabuli kuasa Kerajaan Negeri

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Langkah Kerajaan Persekutuan membentangkan Pindaan Akta 172 di Dewan Rakyat dipersoal Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, hal ini kerana Kerajaan Persekutuan sebelum ini langsung tidak menghiraukan kewajiban mereka berunding dengan Kerajaan Negeri sebelum meluluskan sebarang aktiviti pemajuan yang hendak dilaksanakan di negeri terlibat.

“Sebagai contoh, apabila Kerajaan Persekutuan memberikan kepada syarikat konsesi untuk membina lebuh raya KIDEX, tidak dirujuk kepada Kerajaan Negeri sedangkan sudah ada termaktub dalam Akta 172 seksyen 20(A) dengan terang dan jelas menyatakan Kerajaan Persekutuan perlu berunding dengan Kerajaan Negeri apa-apa aktiviti pemajuan ia bercadang ingin dijalankan dalam negeri tersebut.

“Jadi, di mana keperluan untuk Kerajaan Persekutuan hari ini datang semula dalam Dewan Rakyat untuk tambah satu lagi kewajipan untuk mendapatkan nasihat,” katanya.

azmin-parlimenMohamed Azmin berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2016 yang dibacakan buat kali kedua di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen di sini, semalam.

“Nasihat apa yang diperlukan sedangkan rundingan tidak dijalankan, mereka langgar, asak Kerajaan Negeri dengan pelbagai bentuk cadangan yang memberi kekayaan kepada kroni Umno dan Barisan Nasional khususnya menjelang pilihan raya akan datang,” tambah Ahli Parlimen Gombak itu.

Jelasnya, tindakan tidak bertanggungjawab Kerajaan Persekutuan itu seolah-olah mencabuli kuasa yang ada pada sesebuah Kerajaan Negeri seperti yang diperuntukkan dalam Akta 172.

Katanya, langkah memasukkan Seksyen 20 (B) iaitu ‘kewajiban untuk mendapatkan nasihat’ perlu diperincikan secara jelas terlebih dahulu dan bukanlah hanya secara umum dan kabur.

“Saya ingin mecadangkan perlu diperincikan terlebih dahulu kerana tidak dinyatakan secara jelas pembangunan yang berskala apa yang perlu dirujuk kepada Majlis Perancangan Fizikal Negara tetapi ianya satu klausa baru yang terlalu umum yang mewajibkan Kerajaan Negeri mendapat nasihat tetapi tidak disebut skala projek tersebut dan tempohnya,” katanya lagi.

Tambah Mohamed Azmin, lebih memburukkan keadaan apabila Majlis Perancangan Fizikal Negara pula hanya bersidang sebanyak tiga kali dalam tempoh setahun sekali gus menyulitkan urusan Kerajaan Negeri menjalankan projek-projek barunya.

-nR-