Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Baiki segera meter parkir rosak sekitar Petaling Jaya

OLEH SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 3 OKT: Syarikat Godell Parking Sdn Bhd diminta segera membaiki meter parking yang rosak di sekitar Petaling Jaya.

Ahli Dewan Negeri Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, syarikat itu dilantik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan bertanggungjawab dalam menangani masalah tempat letak kereta bermeter.

“Mengikut perjanjian, Godell dalam tempoh konsesi perlu mengekalkan kemudahan pada kos dan perbelanjaannya sendiri seperti memastikan sistem dalam keadaan baik, beroperasi, berfungsi serta dalam keadaan yang baik.

img_2766“Namun, disebabkan syarikat sudah melanggar erjanjian, saya menerima banyak aduan daripada pengguna di sekitar pusat komersial SS2 yang kecewa apabila mereka perlu berjalan jauh untuk mencari meter yang berfungsi.

“Saya menyarankan MBPJ mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang bertanggungjawab, jika tidak dibaiki dalam kadar segera adalah wajar kontrak mereka dibatalkan,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Difahamkan, syarikat tersebut bakal menamatkan kontrak pada 2020 selepas 20 tahun perkhidmatan, namun penyelenggaraan tidak dilaksanakan mengikut perjanjian kontrak.

“Masalah kerosakan meter boleh menyebabkan pengguna berpotensi disaman Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Selain itu, syarikat berkaitan juga perlu memastikan garis parkir dapat dilihat dengan jelas bagi mengelak berlaku salah letak kereta,” katanya.

Beliau berkata, tidak sepatunya meter letak kereta diswastakan, dan MBPJ harus mengambilalih sepenuhnya kerana keuntungan 70 peratus diambil Godell dengan hanya 30 peratus kepada MBPJ.

Katanya, masalah penyelenggaran akan dapat diatasi jika MBPJ yang menguruskan perkhidmatan itu.

-NFN-