Categories
KENYATAAN MEDIA

Bersatu tenaga dan usaha keluarkan negara dari kegelapan

OLEH DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

Bagi pihak KEADILAN, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada rakyat Malaysia yang beragama Hindu, Sikh dan Jain.

Deepavali adalah perayaan meraikan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, dan kebaikan ke atas kejahatan. Dan seperti yang kita semua tahu, Deepavali sering disambut dengan begitu meriah sekali.

Namun, kemeriahan sambutan Deepavali tahun ini bagai berkurangan, akibat kesuraman ekonomi yang melanda negara, bukan sahaja akibat dasar yang menindas seperti GST, tetapi juga salah tadbir yang memungkinkan budaya rasuah, penyelewengan dan ketirisan.

Lantas rakyat terpaksa mengikat perut dan lebih berjimat-cermat, walau sewaktu musim perayaan seperti ini.

Dalam keadaan ini, rakyat mengharapkan agar pembentangan Bajet 2017 dapat memberi sinar baru dengan menyuluh jalan ke arah langkah-langkah pemulihan ekonomi.

Namun, bajet tahun depan nampaknya gagal memberi berita gembira untuk memangkin perkembangan ekonomi.

Yang ada hanyalah pemotongan dana seperti untuk IPTA dan subsidi yang cukup diperlukan rakyat, dan pengumuman beberapa pemberian yang jika diteliti akan mendatangkan mudarat di masa hadapan.

Malah pelbagai masalah dasar seperti rasuah dan salah tadbir kelihatan tidak mampu diatasi Putrajaya, mengakibatkan negara telus diselubungi kegelapan negara.

Maka kita harus mengambil semangat daripada perayaan Deepavali, menanam tekad dan bersatu tenaga melawan kejahatan dan kegelapan.

Saya percaya bahawa satu hari nanti kita akan berjaya memperolehi kemenangan.Sepertimana lumrah alam, cahaya suria pagi pasti tiba selepas malam gelap gelita.

Deepavali Nal Valthukal

*Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah Presiden Parti Keadilan Rakyat